FAM serah surat penjelasan isu bajet kepada Pesuruhjaya Sukan
KUALA LUMNPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menyerahkan surat rasmi yang mengandungi penjelasan berhubung isu bajet kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia pada Isnin.
FAM dalam kenyataan memaklumkan, surat berkenaan merupakan penjelasan lengkap berhubung kekeliruan mengenai pembentangan penyata kewangan dan bajet badan induk itu yang dibangkitkan semasa Kongres Luar Biasa FAM Pertama 2026 pada 4 Jun lalu.
Menurut kenyataan itu, surat rasmi tersebut diserahkan bagi menjelaskan dakwaan yang menimbulkan persepsi seolah-olah FAM tidak membentangkan penyata kewangan teraudit serta bajet tahunan kepada ahli-ahli gabungan mengikut peruntukan ditetapkan.
“Sebagai badan induk bola sepak negara, FAM menghormati peranan Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia dalam memastikan pematuhan terhadap Akta Pembangunan Sukan 1997,” menurut kenyataan itu.
FAM menegaskan pihaknya akan terus memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berkaitan dalam apa jua perkara yang memerlukan penjelasan lanjut.
Media semalam melaporkan Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin menegaskan bahawa badan induk itu sentiasa melalui proses audit yang ketat dan tersusun melibatkan aspek kewangan.
Beliau turut menjelaskan kemungkinan terdapat kekeliruan membabitkan akaun dan bajet FAM yang sebelum ini menjadi isu selepas pembentangan laporan audit kualiti dilakukan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada Kongres Luar Biasa badan induk itu, Khamis lalu.
Hamidin yang pernah menjadi Presiden FAM dari 2018 hingga 2025 berkata, akaun dan bajet adalah perkara berbeza, dan antara kekhilafan yang dibangkitkan ialah kegagalan membentangkan bajet bagi tahun 2023 hingga 2025.
Katanya, akaun atau kewangan merupakan perkara penting bagi mana-mana persatuan, dan FAM tidak pernah terlepas daripada menjalankan audit terhadap akaun badan induk tersebut
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















