BERITA SEMASA

Dron canggih JPJ pantau kesalahan trafik sepanjang Ops Aidilfitri

MACHANG – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggunakan lima dron berteknologi tinggi bagi memantau serta mengesan kesalahan trafik sepanjang pelaksanaan Ops Hari Raya Aidilfitri yang bermula 13 Mac ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, Kelantan menjadi antara negeri terawal yang dipilih untuk penggunaan teknologi tersebut sebelum ia diperluaskan ke negeri lain.

Dron JPJ
Dron ini akan dikendalikan oleh anggota terlatih sepanjang operasi dijalankan.

Menurutnya, salah satu dron yang digunakan mempunyai keupayaan mengesan nombor pendaftaran kenderaan yang melakukan kesalahan di jalan raya.

“Dron ini dilengkapi spesifikasi tinggi termasuk keupayaan zum sehingga 200 kali, sekali gus membolehkan nombor pendaftaran kenderaan dikenal pasti dengan jelas walaupun dari jarak jauh.

“Rakaman video dan imej yang diperoleh akan disimpan sebagai bahan bukti untuk tindakan penguatkuasaan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni Peringkat Stesen Penguat Kuasa JPJ di Labok, di sini, awal pagi tadi.

Aedy Fadly berkata, anggota yang mengendalikan dron berkenaan telah menjalani latihan khas dan diwajibkan memiliki lesen sah sebelum dibenarkan mengoperasikan peralatan tersebut.

Tambahnya, pengguna jalan raya yang dikesan melakukan kesalahan akan diberikan notis panggilan temu siasat di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button