BERITA SEMASA

562 lesen pengendali digantung susulan audit keselamatan JPJ sejak 2019

KUALA LUMPUR – Sebanyak 562 lesen pengendali telah digantung dan sedang dalam proses penggantungan susulan Audit Keselamatan dan Pemeriksaan (JISA) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dari tahun 2019 hingga Ogos tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dalam tempoh sama, 11 lesen pengendali telah dibatalkan manakala 12 permit kenderaan lagi ditamatkan.

“Selain itu, 56 permit kenderaan telah digantung dan 24 amaran dikeluarkan, menjadikan jumlah keseluruhan tindakan penguatkuasaan sebanyak 665.

“Kami akan terus memperkukuh usaha penguatkuasaan ini termasuk melakukan pemeriksaan rawak dan mengejut bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan,” katanya sewaktu Sesi Jawapan Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Anthony berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Mordi Bimol (PH–Mas Gading) yang meminta penjelasan mengenai jumlah syarikat yang gagal mematuhi peraturan di bawah JISA serta tindakan yang telah dikenakan terhadap mereka.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan rekod JPJ sehingga April tahun ini, jumlah syarikat pengendali kenderaan perdagangan berdaftar adalah sebanyak 48,002, manakala jumlah kenderaan perdagangan berlesen yang meliputi bas dan lori adalah sebanyak 372,586 di bawah seliaan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Beliau menambah, sehingga September tahun ini, JPJ telah melaksanakan sejumlah 7,228 audit JISA di seluruh negara, meliputi pelbagai kategori operasi.

“Pelaksanaan audit ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan pematuhan industri terhadap piawaian keselamatan, sekali gus menyokong inisiatif kementerian untuk mengurangkan kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan berat serta menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button