AUTOMOTIF & TEKNOLOGIBERITA SEMASA

Batik Air jamin tiket mampu milik, tambah 140 penerbangan Aidilfitri

KUALA LUMPUR – Batik Air memperkenalkan inisiatif tambang tetap sempena Hari Raya Aidilfitri bagi memudahkan orang ramai pulang ke kampung halaman pada harga berpatutan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu akan memberi manfaat besar kepada rakyat, khususnya mereka yang ingin pulang ke Sabah dan Sarawak.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

“Tambang tetap itu ditetapkan pada harga RM319 ke Sarawak dan RM379 ke Sabah. Ia adalah langkah bijak bagi memastikan perjalanan pulang beraya lebih mudah, telus dan mampu milik,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama Batik Air di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, hari ini.

Selain itu, Batik Air turut mengumumkan penambahan sehingga 140 penerbangan domestik ke destinasi utama seperti Kota Bharu, Alor Setar, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, Sibu, Sandakan dan Tawau.

Dengan penambahan penerbangan itu, lebih 22,000 tempat duduk tambahan disediakan bagi memenuhi permintaan tinggi sempena musim perayaan.

Anthony Loke berkata, usaha itu menunjukkan komitmen Batik Air dalam memastikan rakyat dapat pulang ke kampung halaman dengan selesa tanpa terbeban dengan kos tiket yang melambung tinggi.

“Ini adalah satu langkah yang sangat baik dan patut dicontohi oleh syarikat penerbangan lain. Tambang tetap serta penambahan penerbangan akan memberi lebih banyak pilihan kepada penumpang,” katanya lagi.

Beliau turut memuji kerjasama erat antara syarikat penerbangan, operator lapangan terbang dan badan pengawal seliaan dalam memastikan kelancaran perjalanan udara ketika musim perayaan.

Menurutnya, Kementerian Pengangkutan sentiasa komited dalam memastikan kebajikan penumpang terjaga serta menggalakkan pertumbuhan sektor penerbangan secara mampan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button