MACMA Negeri Sembilan anjur program solat raya dan dakwah, tarik 500 pengunjung
SEREMBAN – Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Negeri Sembilan telah menganjurkan program solat Hari Raya Aidilfitri hari ini yang menarik kehadiran 500 pengunjung di Kompleks Al-Saadah, di sini.
Program itu bertujuan memberi peluang kepada saudara baru yang belum pernah menunaikan solat raya atau tidak mempunyai keluarga Muslim untuk merasai suasana sambutan Aidilfitri dalam komuniti Islam yang besar.

Bendahari MACMA Negeri Sembilan, Eelin Tan berkata, program itu turut menekankan aspek dakwah kepada masyarakat bukan Islam.
“Dalam setiap aktiviti yang dianjurkan MACMA Negeri Sembilan, kami sentiasa berusaha melibatkan golongan bukan Islam.
“Kali ini, kami menjemput masyarakat Cina bukan Islam untuk menyaksikan solat raya umat Islam. Mereka gembira dapat turut serta dan belajar banyak perkara baharu,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Menurutnya lagi, khutbah solat raya turut dibaca dalam bahasa Melayu oleh PU Razi dan bahasa Mandarin oleh Imam Nur Islam Mai supaya kaum Cina boleh menghayati jiwa Aidilfitri.

“Selain itu, program ini menerima kehadiran pelbagai latar belakang termasuk 80 Muslim dari China, 51 dari Hong Kong, 11 dari Jepun, 100 saudara baru Cina tempatan, 150 Melayu dan 100 bukan Muslim.
“Lebih menarik, kumpulan pelajar dan ibu bapa bukan Islam turut hadir menerusi bimbingan Cikgu Kiwi, seorang individu yang telah lama bekerjasama dengan MACMA Negeri Sembilan dalam mengeratkan hubungan antara Islam dan bukan Islam,” ujarnya.
Di samping solat Aidilfitri dan sesi interaksi, program itu turut menyediakan hidangan khas makanan Cina Muslim yang ditaja sepenuhnya oleh seorang ahli perniagaan dan pemilik restoran Hot Meal Ba.
Antara juadah yang disajikan ialah mee tarik, huajuan, pao dan dumpling, manakala rendang ayam, rendang daging dan nasi impit ditaja oleh MACMA Negeri Sembilan.
Semua pengunjung menikmati jamuan tersebut dengan penuh kesyukuran.

“Alhamdulillah, hubungan antara Muslim dan bukan Muslim semakin rapat melalui program-program yang dianjurkan.
“Kami berharap dapat terus menjalankan aktiviti sebegini bagi memperkukuhkan lagi keharmonian dalam masyarakat,” kata Eelin.
Program yang berlangsung dalam suasana penuh kemesraan ini berjaya mencapai matlamatnya sebagai satu inisiatif dakwah dan perpaduan, khususnya dalam memperkenalkan Islam kepada masyarakat bukan Muslim dengan cara yang harmoni dan penuh hikmah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








