BERITA SEMASA

Baucar digital RM400 FLYSiswa bantu pelajar jimat kos penerbangan

SERDANG – Pemberian baucar digital bernilai RM400 menerusi inisiatif FLYSiswa 2026 menjadi usaha utama kerajaan membantu meringankan beban pelajar institusi pengajian tinggi menggunakan perkhidmatan penerbangan domestik.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, baucar dalam bentuk credit shell itu boleh digunakan bagi pembelian tiket penerbangan kelas ekonomi sama ada sehala atau dua hala, melibatkan syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines, Firefly, AirAsia, Batik Air dan Air Borneo.

Menurut beliau, kemudahan tersebut amat penting khususnya kepada pelajar yang menuntut di Semenanjung serta berasal dari Sabah, Sarawak dan Labuan, yang terpaksa menanggung kos perjalanan lebih tinggi untuk pulang ke kampung halaman.

“Melalui FLYSiswa, kerajaan memastikan pelajar mempunyai akses kepada perjalanan udara yang lebih adil dan berpatutan, sekali gus mengurangkan tekanan kewangan mereka dan keluarga,” katanya ketika merasmikan Karnival Pengangkutan Siswa MADANI dan FLYSiswa Tahun 2026 di Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Beliau berkata, pemberian baucar digital itu bukan sekadar bantuan kewangan, malah satu pendekatan lebih sistematik bagi memastikan bantuan sampai terus kepada golongan sasaran tanpa kerenah birokrasi.

“Penganjuran karnival berkenaan bertujuan memberi penerangan secara langsung kepada pelajar mengenai syarat kelayakan serta kaedah penebusan baucar FLYSiswa yang dilaksanakan secara berfasa bagi tahun 2026.

“Kita mahu semua pelajar yang layak benar-benar memahami mekanisme bantuan ini supaya tiada yang tercicir daripada menerima manfaat yang disediakan kerajaan,” katanya lagi.

Sepanjang karnival yang berlangsung di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian UPM itu, pelbagai pengisian disediakan termasuk kaunter informasi, sesi penerangan serta interaksi bersama pelajar berkaitan pelaksanaan inisiatif FLYSiswa.

Untuk rekod, sejak diperkenalkan pada 2023, program FLYSiswa telah memberi manfaat kepada puluhan ribu pelajar di seluruh negara, dengan peningkatan jumlah tuntutan dari tahun ke tahun, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan baucar digital dalam menyokong kebajikan golongan mahasiswa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button