Insiden Putra Heights: Carro sediakan 30 kenderaan secara percuma selama sebulan
SUBANG JAYA – Syarikat penjualan kereta, Carro bersetuju menyumbangkan 30 kenderaan bagi kegunaan sementara secara percuma kepada mangsa kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, di sini.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang menambah, pihaknya juga sedang mengadakan perbincangan bersama pihak berkaitan untuk kenderaan lain seperti motosikal.
“Pejabat EXCO ((Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri, Ng Sze Han) sedang membuat pendaftaran. Mana-mana mangsa yang memerlukan kenderaan boleh mendaftar dengan mereka.
“Kita akan lihat jumlah keperluan dan kita juga sedang menghubungi syarikat lain supaya mendapat lebih banyak kenderaan yang boleh digunakan mangsa untuk sementara waktu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, di sini hari ini.
Semalam, syarikat automotif, Chery Malaysia turut menyediakan sebanyak 50 kereta untuk kegunaan mangsa insiden kebakaran saluran paip gas selama sebulan.
Mengulas lanjut, beliau berkata Pengasas Kumpulan Berjaya Berhad Tan Sri Vincent Tan turut menyediakan dana bernilai RM3,000 yang akan disumbangkan kepada setiap keluarga mangsa secepat mungkin.
“Ini adalah antara sumbangan yang sedang diusahakan dan sudah tentu kita di peringkat kementerian akan terus menghubungi syarikat swasta untuk cuba membantu mangsa,” katanya.
Setakat pukul 8 pagi tadi, seramai 311 mangsa daripada 84 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights yang dibuka sejak hari kejadian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















