
Grab Malaysia uruskan tuntutan insuran Allahyarham Sharipuddin
SEPANG – Grab Malaysia sedang memproses segala yang diperlukan bagi tuntutan perlindungan insurans Allahyarham Sharipuddin Shaari, salah seorang mangsa nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina Shah Alam, kelmarin.
Perkara itu dimaklumkan kepada keluarga Allahyarham oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
“Pagi ini (tadi), saya menziarahi dan menyampaikan sedikit bantuan peribadi kepada keluarga arwah,” kata Anthony ketika menziarahi keluarga arwah Sharipuddin di Taman Desa Vista, di sini pagi tadi yang turut dihadiri wakil Grab Malaysia.
Katanya, nahas tersebut amat tragis dan menyedihkan dan kerajaan akan cuba sebaik mungkin untuk membantu dalam aspek kebajikan keluarga mangsa.
Terdahulu, Grab Malaysia memberi jaminan untuk menyediakan bantuan dari sudut faedah perlindungan insurans selain membantu waris Sharipuddin dalam urusan lain.
Antara bantuan itu termasuk bayaran daripada dana Grab Partner Zakat serta sumbangan Grab Malaysia dan komuniti rakan penghantar.
“Keluarga Grab mengucapkan takziah kepada keluarga, waris dan rakan-rakan Sharipuddin yang juga seorang rakan penghantar berdedikasi.
“Sharipuddin adalah individu yang rajin dan kami seluruh komuniti rakan penghantar berdukacita kerana insiden itu berlaku ketika Allahyarham sedang bekerja keras mencari rezeki halal.
“Kami dapat berasakan kesedihan yang dilalui semua ketika ini. Kami memanjatkan doa buat keluarga Allahyarham dan keluarga mangsa lain yang terbabit dalam nahas tragis di Elmina,” kata Grab Malaysia dalam satu kenyataan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















