BERITA SEMASA

[VIDEO] DAP tolak kerajaan tebuk atap, tegas pertahan mandat rakyat di Negeri Sembilan

SEREMBAN – DAP menegaskan parti itu tidak akan menyokong sebarang usaha menubuhkan kerajaan “tebuk atap” atau kerajaan pintu belakang di Negeri Sembilan kerana ia bercanggah dengan mandat rakyat yang diberikan kepada Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, kerajaan negeri sedia ada dibentuk atas persefahaman antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sebelum PRN, selaras dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Menurutnya, rakyat telah memberikan mandat jelas kepada gabungan PH-BN untuk mentadbir Negeri Sembilan dan sebarang tindakan menarik sokongan atau cubaan menubuhkan kerajaan baharu adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap mandat tersebut.

“Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan ini bukannya ditubuhkan selepas pilihan raya. Kita ada persefahaman sebelum PRN yang sebelum ini.

“Selepas Kerajaan Perpaduan dibentuk di peringkat Persekutuan, maka kita menyertai PRN, berkempen dalam PRN yang lalu atas platform Kerajaan Perpaduan, PH dan BN.

@malaysiatribune

Menurut Anthony Loke, tindakan pihak berkenaan yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan adalah sangat tidak bertanggungjawab #malaysiatribune #beritasemasa #politikmalaysia

♬ original sound – malaysia tribune – malaysia tribune

“Jadi itu mandat yang diberikan oleh rakyat kepada PH dan BN terhadap Kerajaan Perpaduan.

“Kalau ada mana-mana pihak sekarang ini menarik sokongan, bagi kita itu tidak menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat Negeri Sembilan,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Beliau menegaskan, DAP tidak akan menyokong mana-mana pihak untuk menubuhkan kerajaan baharu melalui jalan belakang.

“Saya nak jelaskan pendirian DAP, kita tidak akan menyokong mana-mana usaha kerajaan tebuk atap. No to backdoor government.

“Kita tidak akan menyokong mana-mana pihak untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang.

“Ini kerajaan yang diberikan mandat oleh rakyat Negeri Sembilan. 17 PH, 14 BN, jelas kita berkempen atas platform itu dan diberikan mandat. Menang, tubuh kerajaan negeri,” katanya.

Anthony berkata, sekiranya ada pihak cuba menubuhkan kerajaan selain kerajaan sedia ada, ia jelas membelakangi kehendak rakyat.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa DAP menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan dan tidak akan campur tangan dalam sebarang pertikaian melibatkan institusi diraja Negeri Sembilan.

Katanya, dalam konteks Raja Berperlembagaan Negeri Sembilan, ia melibatkan Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan Tuanku Besar Tampin yang perlu dihormati sepenuhnya.

“Apabila krisis ini berlaku, ada pertikaian antara Yang di-Pertuan Besar dan Datuk Undang, kita tidak masuk campur. Kita menghormati proses, menghormati institusi tersebut dan undang-undang adat.

“Kita tidak pernah menyatakan apa-apa pendirian kerana kita tidak pernah masuk campur. Kita menghormati Perlembagaan Negeri Sembilan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button