KTMB lancar SuperApp KITS Style
KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menjenamakan semula sistem Integrated Ticketing System (KITS) kepada SuperApp KITS Style bagi meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan serta memudahkan urusan harian pengguna melalui satu aplikasi yang serba lengkap.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, aplikasi tersebut bukan sekadar platform pembelian tiket, sebaliknya berperanan sebagai satu ekosistem digital yang menyatukan mobiliti harian dan gaya hidup rakyat.

“KITS Style bukan sahaja menawarkan pembelian tiket ETS, KTM Komuter dan Shuttle Tebrau, malah turut menyediakan kemudahan tempahan tiket penerbangan, hotel, pembayaran bil utiliti, pembaharuan insurans kenderaan, penghantaran wang, pembelian dalam talian dan perancangan perjalanan melalui KITS AI Journey Planner,” katanya pada Majlis Pelancaran Aplikasi KITS Style yang diadakan malam tadi.
Menurut Anthony, penjenamaan semula itu juga selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh sistem pengangkutan awam yang lebih selamat, mampan dan berdaya saing, selain mempertingkatkan mutu hidup rakyat.
Katanya, usaha digitalisasi melalui SuperApp KITS Style akan membuka lebih banyak peluang kepada pengguna untuk mengurus pelbagai keperluan dalam satu aplikasi sahaja tanpa perlu beralih kepada platform berbeza.
“Langkah ini menjadikan KTMB sebagai antara penyedia perkhidmatan rel pertama di rantau ini yang menawarkan pendekatan Mobility-as-a-Service (MaaS) secara menyeluruh,” katanya lagi.
KTMB menjelaskan aplikasi itu sudah boleh dimuat turun dan akan terus dipertingkat dari semasa ke semasa mengikut keperluan serta maklum balas pengguna.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






