Anthony Loke ziarah, hulur sumbangan kepada keluarga Amirul Hafiz
KLANG – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini meluangkan masa menziarahi keluarga Allahyarham Amirul Hafiz Omar yang maut selepas dirempuh pemandu mabuk dalam satu kemalangan, Ahad lalu.
Menurut beliau, lawatan itu dilakukan bersama Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli, bagi menzahirkan simpati terhadap nasib menimpa keluarga arwah, khususnya isteri mangsa.
“Petang tadi, saya bersama Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli menziarahi isteri arwah Amirul Hafiz Omar yang terbunuh dalam kemalangan tragis disebabkan oleh pemandu mabuk dan di bawah pengaruh dadah di Klang pada hari Ahad yang lalu.
“Saya menyampaikan sedikit sumbangan kewangan secara peribadi dengan harapan dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh keluarga.
“Namun tiada nilai wang ringgit yang mampu menggantikan kehilangan insan tersayang, lebih-lebih lagi buat seorang isteri yang kini perlu meneruskan kehidupan tanpa suami di sisi,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kejadian pukul 11.40 pagi Ahad lalu, Amirul Hafiz, maut di tempat kejadian selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kereta dipandu tertuduh, R Saktygaanapathy yang dipercayai dipandu laju di laluan bertentangan dari arah Jalan Raya Barat menuju ke bandar Klang.
Akibat pelanggaran itu, Amirul Hafiz melambung dan tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Amirul Hafiz bekerja di sebuah gudang pada waktu siang dan sebagai penghantar makanan pada waktu malam.
Sehubungan dengan itu, Loke berkata, pihaknya amat memahami kesedihan yang dirasai keluarga mangsa dan menzahirkan rasa simpati yang mendalam serta solidariti dalam menghadapi saat sukar tersebut.
“Semoga keluarga arwah diberi kekuatan dan ketabahan untuk melalui dugaan ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















