BERITA SEMASA

Dua maut, enam cedera kemalangan kereta langgar lori berhenti

LIPIS – Dua maut manakala enam lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah lori di Kilometer 37, Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) berhampiran Kampung Chegar Perah, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, kejadian berlaku pada pukul 5.30 pagi apabila kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun dari Klang, dipercayai gagal dikawal lalu melanggar bahagian belakang lori yang berhenti di bahu jalan.

“Mereka dalam perjalanan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, untuk menziarahi ahli keluarga yang sakit.

“Akibat kemalangan itu, dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Roslawati Mat Daud, 50 dan seorang kanak-kanak lelaki, Aqif Azfar Azman, 6 tahun.

Menurut Ismail, pemandu lori berusia 33 tahun bersama kelindannya berhenti di tepi jalan untuk membuang air kecil ketika kejadian. Mereka dalam perjalanan dari Melaka ke Ketereh bagi menghantar perabot.

Tambahnya, kedua-dua pemandu dan kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bagaimanapun, pemandu kereta bersama lima ahli keluarga lain telah dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Pihak polis meminta mana-mana saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button