BERITA SEMASA

Berat pesawat melebihi had berat maksimum ketika berlepas – BSKU

Laporan awal nahas pesawat BK 160 Gabriel

PUTRAJAYA – Pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kapar, Klang pada 13 Februari lalu, didapati mempunyai berat melebihi had berat maksimum ketika berlepas.

Siasatan turut mendapati, aktiviti penyelenggaraan pesawat itu berada dalam keadaan tidak teratur.

Bagaimanapun, siasatan turut mendapati, juruterbang pesawat itu telah dilesenkan dengan betul dan layak untuk melakukan penerbangan, selain pesawat mempunyai pensijilan kelayakan udara yang sah.

Dapatan itu merupakan antara yang terkandung dalam laporan awal siasatan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Kementerian Pengangkutan (MOT) yang dikeluarkan pada hari ini.

Laporan awal penuh tersebut boleh dimuat turut di pautan ini.

Menurut MOT, laporan akhir akan disiapkan dan disebarkan secara umum dalam tempoh 12 bulan dari tarikh kemalangan mengikut Annex 13 Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa1 Siasatan Kemalangan dan Insiden Pesawat (ICAO Annex 13).

Insiden tersebut mengorbankan juruterbang, Daniel Yee Hsiang Khoon dan pembantunya Roshaan Singh Raina dengan kedua-dua mereka terbenam bersama bahagian kokpit pesawat malang berkenaan di kawasan sebuah ladang kelapa sawit.

Pesawat Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada pukul 1.28 tengah hari untuk penerbangan rekreasi.

Siasatan BSKU masih berterusan untuk menentukan sebab dan faktor-faktor penyumbang yang menyebabkan kemalangan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button