JENAYAH & MAHKAMAH

Pemandu van persiaran terbalik positif syabu

MELAKA – Pemandu van persiaran membawa lapan warga India yang terbabit kemalangan di KM212 Lebuhraya Utara-Selatan di Alor Gajah pagi tadi, disahkan positif dadah jenis syabu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintenden Muhammad Zaki Ramat pihaknya menerima laporan mengenai kejadian sekitar pukul 10.30 pagi tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati van persiaran dari Kuala Lumpur menuju Melaka itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan, lapor SH Online.

Menurutnya, pemandu van tersebut warga tempatan berusia 55 tahun tidak cedera.

“Bagaimanapun, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati pemandu tersebut positif methamphetamine (syabu),” katanya.

Sehubungan itu, tambahnya, pemandu berkenaan ditahan untuk permohonan reman esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan.

Jelasnya, tiga penumpang terdiri daripada seorang lelaki 52 tahun serta dua kanak-kanak lelaki berusia sembilan dan 13 tahun cedera ringan dan kesemua mereka dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pegawai penyiasat Nurul Salina Rosli di talian 011-25435507 atau ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Laporan media sebelum ini menyebut, lapan warga India termasuk tiga kanak-kanak, berdepan detik cemas selepas van persiaran dinaiki mereka terbabas ke bahu jalan sebelum terbalik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button