Bapa maut, isteri dan dua anak parah nahas dua kenderaan di Rembau
REMBAU – Kegembiraan sebuah keluarga pulang selepas menyambut Aidiladha bertukar tragedi apabila seorang bapa maut, manakala isteri serta dua anaknya cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 14.2, Jalan Seremban-Tampin, di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5.40 petang itu, mangsa, Mohd Rashidan Mohd Rasid, 50, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban pada pukul 7.10 malam akibat kecederaan parah di kepala dan tangan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, isteri mangsa berusia 49 tahun mengalami kecederaan parah pada tangan, manakala dua anak mereka masing-masing berusia 12 dan 15 tahun turut mengalami kecederaan dalaman.

“Seorang lagi anak perempuan mangsa berusia 21 tahun yang juga pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) hanya mengalami kecederaan ringan iaitu luka di bahagian bibir.
“Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke HTJ untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati Proton Iswara yang dinaiki lima beranak itu sedang dalam perjalanan dari Rembau menghala ke Seremban.
Katanya, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dinaiki tiga beranak termasuk bayi berusia dua bulan datang dari arah bertentangan sebelum dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
“Perlanggaran berlaku di bahagian hadapan kedua-dua kenderaan. Pemandu Perodua Alza berusia 27 tahun mengalami kecederaan parah pada kedua-dua tangan dan dihantar ke HTJ untuk rawatan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, isteri pemandu MPV berusia 26 tahun hanya mengalami kecederaan ringan pada kaki kiri, manakala bayi pasangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Rembau untuk proses bedah siasat yang dijadualkan pada pukul 10 pagi ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Difahamkan, lima beranak terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Senawang selepas menyambut Aidiladha bersama keluarga di Rembau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








