JENAYAH & MAHKAMAH

Enam maut dalam nahas ngeri di Karak

BENTONG – Enam lelaki berusia antara 15 hingga 25 tahun maut selepas kereta Toyota Vios yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori satu tan di Jalan Karak Lama menghala ke Temerloh, berhampiran Klinik Desa Jambu Rias, awal pagi ini.

Dalam kejadian pada pukul 4.25 pagi itu, semua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat tersepit di dalam kenderaan selepas rempuhan kuat.

Mangsa yang maut dikenali sebagai V Mugilan, 25; K Dinesvaran, 21; K Alaganathan, 20; A Kanabati Raja, 18; S K Kiisyen, 16, dan M Paranthaman, 15.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.24 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak digerakkan ke lokasi.

“Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada 4.24 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak bergegas ke lokasi.

“Jentera pertama tiba di lokasi pada 4.32 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Toyota Vios serta sebuah lori satu tan.

“Enam mangsa lelaki yang menaiki Toyota Vios didapati tersepit di dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu lori satu tan, Muhamad Hanafi Ahmad Raju, 31, mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk menerima rawatan lanjut.

Katanya, anggota bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera selain mengeluarkan semua mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas penyelamatan.

“Mayat kesemua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa cedera diserahkan kepada KKM,” katanya.

Operasi menyelamat melibatkan tujuh anggota BBP Karak dengan bantuan sembilan anggota BBP Mentakab dan ditamatkan sepenuhnya pada pukul 6.40 pagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button