BERITA SEMASA

Stereng gagal berfungsi, lori bawa batu ragut nyawa 9 anggota FRU

TELUK INTAN – Kegagalan fungsi stereng dipercayai menjadi punca nahas membabitkan sebuah lori membawa muatan batu yang merempuh lori Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Sungai Lampam, mengorbankan sembilan anggota pasukan keselamatan itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kejadian berlaku ketika lori FRU dari Unit 5 yang membawa 18 anggota dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai menjalankan penugasan sempena perayaan Chitra Pournami di Hilir Perak.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, lori FRU tersebut dirempuh dari arah hadapan oleh sebuah lori membawa muatan batu. Siasatan awal mendapati lori berkenaan dipercayai mengalami kegagalan fungsi stereng,” katanya memetik laporan HM online.

Beliau berkata, lapan anggota FRU termasuk pemandu meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi anggota disahkan maut ketika menerima rawatan di hospital.

“Enam anggota cedera parah dan empat lagi mengalami kecederaan ringan. Semua mangsa telah dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut,” katanya lagi.

Tambah beliau, siasatan terperinci sedang dijalankan termasuk mengenal pasti status kenderaan lori yang terbabit dalam kemalangan itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button