Lelaki OKU penglihatan maut dilanggar LRT
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki kurang upaya (OKU) penglihatan maut dilanggar tren Transit Aliran Ringan (LRT) selepas dipercayai terjatuh ke atas landasan di stesen Titiwangsa, pagi tadi.
Menurut Komander Operasi Bomba dan Penyelamat, PBK I KUP Fadil Hesam Mohd, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.38 pagi mengenai penemuan jasad di atas landasan LRT.
Berikutan itu, katanya, pihaknya mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba Sentul dan Unit Bantuan Kebakaran Titiwangsa ke lokasi kejadian.
“Penemuan awal menunjukkan mangsa mungkin terjatuh ke atas landasan sebelum dilanggar oleh tren yang datang.
“Kejadian dipercayai berlaku akibat kehilangan keseimbangan, di mana pemandu tren tidak menyedari kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pemeriksaan ke atas mangsa oleh kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, pihak berkuasa sedang menjalankan proses mengalihkan mayat dari lokasi kejadian untuk memastikan keselamatan dan memudahkan penyiasatan yang lancar.
Dalam perkembangan berkaitan, pengendali sistem LRT, Rapid Rail Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata, perkhidmatan tren di Stesen PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur dihentikan sementara susulan kejadian.
“(Buat masa ini) Perkhidmatan rel alternatif, termasuk perkhidmatan bas perantara percuma diaktifkan bagi meyokong operasi,” katanya hari ini.
Kenyataan tersebut turut memberitahu, pihaknya akan memulihkan Laluan Ampang/Sri Petaling secepat mungkin sebaik operasi selesai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








