BERITA SEMASA

Kemalangan Tanah Merah bukan berpunca kenderaan jabatan – JPJ

KOTA BHARU, – Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) menafikan dakwaan bahawa kemalangan di Kampung Rahmat Bukit Bunga, Tanah Merah semalam berpunca daripada kenderaan jabatan itu.

Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah berkata, pihaknya memandang serius penyebaran maklumat tidak tepat yang tular di media sosial berhubung insiden berkenaan.

Menurutnya, dakwaan bahawa kenderaan JPJ mengejar sebuah lori sehingga menyebabkan kemalangan seperti dipaparkan dalam video berdurasi 34 saat adalah tidak benar dan tidak berasas.

“Kenderaan jabatan ketika itu sedang menjalankan rondaan rasmi sempena Ops Hari Raya Aidilfitri 2026, dan anggota terlibat mematuhi prosedur operasi standard serta peraturan lalu lintas ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebarang siasatan lanjut kini berada di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM), sambil menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih sehingga siasatan selesai.

Dalam masa sama, JPJ turut menzahirkan rasa simpati kepada mangsa dan mengucapkan takziah kepada keluarga yang terlibat.

“Semoga arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Kepada mangsa yang cedera, kami doakan agar diberikan kesembuhan segera,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kampung Banggol Jering kira-kira jam 4.30 petang.

Mangsa, Mursyid Azmi, 25, yang memandu Perodua Myvi, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas bertembung dengan sebuah Toyota Fortuner milik JPJ.

Insiden itu turut mendapat perhatian ramai selepas dikaitkan dengan dakwaan tidak tepat di media sosial.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button