BERITA SEMASA

Kerajaan Selangor digesa kecilkan jurang pendapatan antara daerah

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor digesa menetapkan sasaran khusus untuk mengurangkan jurang pendapatan antara daerah bagi memastikan sasaran median pendapatan isi rumah RM14,500 sebulan menjelang 2030 dapat dinikmati secara lebih saksama.

ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, sasaran peningkatan pendapatan median isi rumah itu merupakan langkah baik, namun ukuran kejayaan tidak seharusnya hanya berdasarkan peningkatan angka di peringkat negeri.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan negeri perlu memastikan pertumbuhan ekonomi turut dirasai penduduk di kawasan luar bandar yang mempunyai struktur ekonomi berbeza berbanding kawasan bandar.

“Apabila kita bercakap tentang pendapatan median negeri, kita perlu melihat lebih jauh daripada sekadar angka purata. Realitinya, keadaan ekonomi antara daerah di Selangor tidak sama,” katanya ketika membahaskan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) 2026-2030 di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Menurutnya, kawasan seperti Petaling, Shah Alam dan Subang Jaya mempunyai kelebihan dari segi peluang pekerjaan, pelaburan serta akses kepada industri bernilai tinggi.

Sebaliknya, katanya, kawasan seperti Permatang dan Tanjong Karang masih banyak bergantung kepada sektor pertanian, perikanan, perusahaan kecil dan pekerjaan tradisional.

Nurul Syazwani berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, median pendapatan isi rumah di Kuala Selangor adalah sekitar RM8,046, manakala Sabak Bernam sekitar RM6,941.

Angka itu, katanya, jauh lebih rendah berbanding median pendapatan isi rumah Selangor sebanyak RM10,726.

“Data ini menunjukkan bahawa jurang pembangunan antara daerah masih wujud.

“Justeru, saya berpandangan bahawa Kerajaan Negeri tidak boleh hanya menetapkan sasaran pendapatan median di peringkat negeri. Sebaliknya, Kerajaan Negeri juga perlu menetapkan sasaran pengurangan jurang pendapatan antara daerah,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan median pendapatan negeri tidak boleh dianggap sebagai satu-satunya ukuran kejayaan sekiranya masih terdapat jurang besar antara kawasan bandar dan luar bandar.

“Ukuran kejayaan sebenar ialah apabila jurang antara daerah semakin mengecil,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Syazwani berkata, kekurangan peluang pekerjaan berkualiti di luar bandar menjadi antara faktor anak muda memilih untuk berhijrah ke bandar.

Katanya, peluang ekonomi perlu diwujudkan lebih banyak di kawasan luar bandar supaya golongan muda mempunyai sebab untuk kekal dan membangunkan ekonomi setempat.

“Kalau peluang ekonomi diwujudkan di luar bandar, anak muda akan kekal di kampung.

“Kalau anak muda kekal di kampung, ekonomi tempatan akan terus hidup. Kalau ekonomi tempatan terus hidup, pendapatan isi rumah juga akan meningkat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pembangunan agro-pelancongan, agromakanan, industri hiliran dan agroteknologi perlu diberi keutamaan bagi memastikan sasaran pendapatan median RM14,500 dapat dicapai secara inklusif.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button