BERITA SEMASA

Junjung titah diraja, kerajaan negeri Selangor digesa pinda Enakmen Pengawalan Penternakan Babi – ADUN Permatang

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh menggesa kerajaan negeri Selangor supaya segera meminda Enakmen Pengawalan Penternakan Babi bagi memasukkan ketetapan seperti yang dititahkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau berkata, ini kerana kesemua ketetapan yang dititahkan oleh baginda belum terkandung di dalam Enakmen Pengawalan Penternakan Babi (Pindaan) 2010 Negeri Selangor.

“Enakmen sedia ada hanya mengawal aspek teknikal seperti lesen, kebersihan dan operasi, tetapi tidak mengikat kerajaan atau pihak berkuasa tempatan untuk mematuhi zon larangan, had pengeluaran atau larangan dana awam seperti yang dititahkan oleh tuanku.

“Ini mewujudkan jurang yang serius antara titah diraja sebagai dasar dan undang-undang bertulis sebagai alat penguatkuasaan.

“Oleh itu, saya menggesa kerajaan negeri supaya segera meminda Enakmen Pengawalan Penternakan Babi bagi memasukkan larangan berkanun terhadap penternakan di mana mana tempat kecuali Bukit Tagar, had pengeluaran berdasarkan keperluan rakyat bukan Islam Selangor sahaja dan larangan mutlak penggunaan dana awam atau pelaburan kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, tanpa pindaan itu, titah baginda berisiko menjadi sekadar kenyataan dasar tanpa kekuatan undang-undang dan boleh diputar belit, dilengah-lengahkan atau diketepikan oleh pihak eksekutif.

“Menjunjung titah raja bukan sekadar dengan kata-kata tetapi dengan mendokumentasikannya dalam undang-undang negeri supaya ia mengikat semua pihak.

“Itulah makna sebenar menjunjung raja dan memelihara kedaulatan undang-undang,” katanya.

Sultan Selangor bertitah supaya tiada lagi operasi penternakan babi di Tanjong Sepat dan operasi sedia ada hendaklah dipindahkan ke Bukit Tagar.

Baginda turut bertitah supaya skala pengeluaran hendaklah terhad kepada keperluan rakyat bukan Islam di Selangor sahaja dan tidak melibatkan eksport.

Pada masa sama, baginda menegaskan kerajaan negeri tidak boleh menyalurkan sebarang dana awam atau pelaburan bagi operasi penternakan babi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button