Ladang babi moden tidak jamin pengurangan pencemaran alam sekitar – Dr Ab Halim
SHAH ALAM – Pembangunan ladang ternakan babi di negeri ini perlu berasaskan bukti saintifik dan tadbir urus yang tegas selepas kajian mendapati sistem ladang moden tidak menjamin pengurangan pencemaran alam sekitar.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata, kajian penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) di Kampung Selamat, Pulau Pinang yang diterbitkan pada 2025 mendapati air buangan daripada 66 ladang babi dan sebuah rumah sembelih berada pada tahap pencemaran serius.
Menurut beliau, kajian berkenaan mengenal pasti tiga pencemar utama iaitu Ammoniacal Nitrogen (AN) yang menjadi punca bau busuk dan bersifat toksik, Biochemical Oxygen Demand (BOD) yang menunjukkan kandungan sisa organik tinggi serta Chemical Oxygen Demand (COD) yang menandakan pencemaran kimia.
Katanya, majoriti ladang gagal mematuhi Standard B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 apabila pada September 2024 sebanyak 60 ladang atau kira-kira 84 peratus melebihi had AN, 46 ladang melebihi had BOD dan 30 ladang melebihi had COD.
Beliau berkata, tahap pencemaran kekal tinggi pada November 2024 dengan 51 ladang atau kira-kira 76 peratus masih melebihi had AN, selain 40 ladang melebihi had BOD dan 21 ladang melebihi had COD.
“Dapatan tersebut membuktikan hampir semua ladang mencemarkan air khususnya dari segi ammonia, selain analisis statistik menunjukkan sistem tertutup atau close-house tidak menjamin tahap pencemaran yang lebih rendah.
“Punca sebenar pencemaran adalah kelemahan pengurusan kolam rawatan, penyelenggaraan ladang dan pengendalian sisa, sekali gus membuktikan bahawa perubahan sistem tanpa kawalan dan penguatkuasaan tegas tidak menyelesaikan masalah,” katanya dalam kenyataan.

Ab. Halim berkata, walaupun pendekatan saintifik dan teknologi mampu meningkatkan produktiviti, ia tidak menjamin keselamatan alam sekitar sekiranya tidak disertai kawalan, ketelusan dan akauntabiliti, selain kecekapan pengeluaran tidak boleh disamakan dengan perlindungan kesihatan awam.
Menurutnya, model pembangunan ladang berskala besar dan berpusat membawa risiko tinggi kerana kegagalan sistem rawatan atau kecuaian operasi boleh memberi kesan besar, sukar dikawal dan akhirnya ditanggung oleh rakyat.
Beliau berkata, kegagalan tadbir urus memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat termasuk pencemaran sungai dan sumber air, gangguan bau yang menjejaskan kualiti hidup, risiko kesihatan awam, ketegangan antara komuniti serta hilangnya kepercayaan terhadap institusi kerajaan.
“Dalam banyak keadaan manfaat ekonomi hanya dinikmati segelintir pihak manakala kos sosial, kesihatan dan alam sekitar dipikul oleh penduduk setempat, sekali gus bercanggah dengan prinsip keadilan sosial dan pentadbiran beramanah,” katanya.
Sehubungan itu, PAS Selangor menawarkan pendekatan jalan tengah berasaskan bukti dengan mencadangkan audit alam sekitar dilaksanakan secara bebas dan berkala, lesen operasi disyaratkan kepada pematuhan sebenar di lapangan serta mekanisme penggantungan atau pembatalan lesen automatik sekiranya berlaku ketidakpatuhan berulang.
Beliau berkata, Petunjuk Prestasi Alam Sekitar yang jelas, boleh diukur dan telus perlu diperincikan termasuk had pelepasan efluen berasaskan AN, BOD dan COD, selain pematuhan piawaian alam sekitar dijadikan syarat utama kelangsungan operasi.
Menurutnya, pembangunan juga perlu mengambil kira had kapasiti dan sensitiviti kawasan, mengelakkan penumpuan risiko melalui projek berskala terlalu besar serta mewajibkan pelan kecemasan pencemaran sebelum kelulusan diberikan.
“Libat urus komuniti setempat perlu dijadikan syarat dalam proses kelulusan projek dengan saluran aduan yang disertai tindakan nyata dan garis masa jelas,” jelasnya.
Ab. Halim berkata, kesemua cadangan tersebut perlu diperincikan melalui pindaan Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1991 yang kali terakhir dipinda pada 2010, termasuk mewajibkan piawaian teknikal yang boleh dikuatkuasakan.
Menurutnya, enakmen berkenaan juga perlu dipinda bagi mewajibkan kaedah penternakan babi moden (MPF) dengan mengenakan tindakan tegas serta hukuman tinggi terhadap kes pencemaran termasuk kos pemulihan ditanggung penternak.
Selain itu katanya, kerajaan negeri perlu mengetatkan kawalan biosekuriti sebelum sebarang projek penternakan babi berskala mega menggunakan teknologi zero discharge dilaksanakan.
Beliau menegaskan, teknologi perlu digunakan secara beretika dan bertanggungjawab sebagai alat melindungi rakyat dan alam sekitar, bukan alasan untuk menutup kelemahan sistem.
“PAS Selangor akan terus menjadi suara yang matang, profesional dan berprinsip dalam mempertahankan kepentingan rakyat tanpa menolak kemajuan, demi membina Selangor yang stabil, sejahtera dan dihormati,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








