ADUN Permatang persoal kenyataan tidak tepat dalam DUN Selangor, dakwa bayaran sewa mangsa Putra Heights belum disalurkan
SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh mempersoalkan ketelusan kerajaan negeri berhubung isu bantuan sewa kepada mangsa tragedi letupan Putra Heights.
Beliau berkata, kontroversi itu tercetus selepas dua ADUN kerajaan pada 24 November lalu mendakwa bahawa bayaran sewa Fasa Ketiga kepada mangsa telah diselesaikan.
Namun katanya, kenyataan itu didapati bercanggah dengan pengumuman rasmi EXCO Perumahan pada 25 November yang mengesahkan bahawa kelulusan pembayaran hanya dibuat pada hari tersebut dan bantuan masih belum disalurkan.
“Ini bukan soal teknikal atau kekeliruan biasa. Ini membabitkan kebenaran dalam dewan dan nasib mangsa tragedi yang masih menanggung kos sewa sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari.
Beliau menegaskan bahawa sehingga 5 Disember, tiada satu pun mangsa menerima bayaran sewa Fasa Ketiga, sekaligus membuktikan bahawa kenyataan yang dibuat pada 24 November adalah tidak tepat dan memberi gambaran seolah-olah kerajaan negeri sudah melaksanakan tanggungjawab sedangkan realitinya tidak.
Katanya, pendedahan itu mencetuskan persoalan tentang sejauh mana maklumat yang dibentangkan oleh wakil kerajaan dalam dewan adalah tepat dan berasaskan fakta semasa.
Malah Nurul Syazwani berkata, maklumat bercanggah sedemikian bukan sahaja mengelirukan dewan, malah mencalar kredibiliti pentadbiran negeri dalam menangani kebajikan rakyat yang sedang terjejas.
Dalam memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban kerajaan negeri Nurul Syazwani mendesak agar penyaluran bayaran sewa Fasa Ketiga dipercept tanpa sebarang kelewatan tambahan dan kerajaan negeri mengemukakan garis masa jelas mengenai status pembayaran.
Pada masa sama beliau turut mendesak supaya penjelasan rasmi diberikan berhubung ketidaktepatan kenyataan dalam Dewan pada 24 November lalu.
“Isu pembayaran sewa ini melibatkan kebajikan mangsa tragedi yang masih dalam proses pemulihan.
“Ketepatan maklumat dan tindakan segera amat diperlukan bagi memastikan bantuan yang dijanjikan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








