BERITA SEMASA

Jangan ada dua darjat dalam pengampunan – ADUN Permatang

KUALA LUMPUR – ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh menegaskan tidak seharusnya wujud ‘dua darjat’ dalam soal pengampunan sambil menyatakan sokongan terhadap permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Nurul Syazwani yang juga seorang peguam berkata, kuasa pengampunan diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan tidak wajar dinafikan atas alasan prinsip kedaulatan undang-undang.

“Jangan berselindung di sebalik slogan rule of law untuk menafikan sesuatu yang Perlembagaan sendiri benarkan.

“Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa pengampunan. Kalau semua pesalah wajib menghabiskan hukuman tanpa ruang pengampunan, untuk apa Perkara 42 diwujudkan?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut membangkitkan pengampunan penuh yang diterima Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018 ketika masih menjalani hukuman dan berkata keputusan berkenaan perlu dihormati.

“Jangan apabila pemimpin sendiri menerima pengampunan, kita panggil keadilan dan ihsan; apabila Najib memohon pengampunan, tiba-tiba kita bercakap tentang rule of law.

“Undang-undang apa yang berubah? Perlembagaan mana yang berubah? Atau hanya nama pemohonnya yang berubah?” katanya lagi.

Nurul Syazwani berkata, sokongannya terhadap pengampunan Najib bukan bermaksud mahu bekas Perdana Menteri itu diletakkan mengatasi undang-undang, sebaliknya mahukan standard yang sama digunakan dalam proses pengampunan.

“Saya tidak meminta Najib berada di atas undang-undang. Saya menuntut supaya standard yang sama digunakan kepada Najib sebagaimana kita pernah menerimanya untuk orang lain,” tegasnya.

Beliau pada masa sama mengingatkan supaya hak yang diperuntukkan Perlembagaan tidak dipolitikkan.

“Keadilan tidak boleh memilih nama. Perlembagaan tidak boleh memilih parti. Dan ihsan tidak sepatutnya memilih kawan atau lawan.

“Saya menyokong pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kalau dahulu boleh untuk Anwar, jangan hari ini kata salah apabila rakyat mengharapkan ihsan untuk Najib. Daulat Tuanku,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button