ADUN Permatang sokong cadangan hidupkan semula Muafakat Nasional demi perpaduan ummah
KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu agar UMNO menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) serta menjalin kerjasama politik dengan Perikatan Nasional (PN) demi memperkukuh perpaduan ummah dan masa depan politik Melayu-Islam di negara ini.
Beliau yang juga Ketua BERSATU Bahagian Tanjong Karang menyifatkan cadangan yang dikemukakan oleh PERKASA bersama 16 NGO Melayu lain dalam pertemuan dengan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki di Menara Datuk Onn semalam, sebagai satu langkah berani, bernas dan berpandangan jauh.

“Cadangan ini adalah asas kukuh untuk membina kembali kekuatan politik umat iaitu berpaksikan prinsip, bukan emosi; berpandukan perjuangan, bukan kepentingan,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.
Menurut Nurul Syazwani, penyatuan antara parti-parti Melayu-Islam bukan soal perebutan kerusi atau kuasa, tetapi soal kebijaksanaan dan kematangan politik untuk mengembalikan maruah bangsa serta masa depan rakyat.
“Segala perbezaan boleh diselesaikan melalui rundingan yang ikhlas, berstrategi dan berprinsip.
“Kini masa untuk merapatkan saf, menyusun langkah dan membina kekuatan bersama iaitu demi maruah agama, bangsa dan negara,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut merayu agar semua pimpinan parti melupakan sengketa lama, mengetepikan dendam peribadi dan menghentikan budaya saling menuding jari.
“Kita tidak mahu generasi akan datang menuding jari kepada kita kerana gagal mempertahankan peluang bersejarah untuk menyatukan ummah ketika mereka paling memerlukan kepimpinan yang berpadu,” katanya lagi.
Nurul Syazwani menyeru kepimpinan UMNO dan PN agar menyambut seruan penyatuan itu dengan hati terbuka dan jiwa besar, sambil menegaskan bahawa Muafakat Nasional bukan sekadar sejarah lama, tetapi “amanah baharu untuk masa depan ummah dan negara.”
“Gagal sekali tidak bermaksud gagal selamanya,” ujarnya menutup kenyataan itu dengan penuh optimis.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








