Krisis Perlis bukti PN gagal, Muafakat Nasional dicadang dihidupkan semula – Akmal Saleh
KANGAR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menyifatkan krisis politik yang melanda Perlis ketika ini sebagai bukti jelas kegagalan Perikatan Nasional (PN), susulan tindakan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Akmal berkata, sejak awal sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), telah mengingatkan supaya kerjasama Muafakat Nasional diperkasakan berbanding meneruskan pakatan bersama PN.
“Dah beritahu sejak dulu lagi sebelum PRU15 untuk memperkasakan Muafakat Nasional, bukan Perikatan Nasional,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Menurut beliau, situasi yang berlaku hari ini membuktikan dakwaan berlakunya pengkhianatan dalam kalangan rakan politik sehingga membawa kepada krisis kepimpinan kerajaan negeri.
“Hari ini baru nampak belang masing-masing, kena tikam belakang,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Akmal mencadangkan agar PN dibubarkan sepenuhnya dan kerjasama Muafakat Nasional diwujudkan semula sebagai langkah menyusun semula hala tuju politik pembangkang.
“Alang-alang bubar sekali Perikatan Nasional dan kita wujudkan semula Muafakat Nasional. Macam mana?” katanya lagi.
Kenyataan Akmal itu dibuat ketika kemelut politik Perlis memuncak apabila lapan ADUN dilaporkan menghantar surat akuan berkanun (SD) kepada Istana Perlis bagi menarik sokongan terhadap Menteri Besar.
Susulan perkembangan tersebut, Mohd Shukri Ramli dalam sidang media di kediaman rasmi beliau hari ini mengumumkan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis, tertakluk kepada perkenan Raja Perlis.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








