BERITA SEMASAPOLITIK

PN tegas komitmen perkasa wanita Sabah melalui agenda menyeluruh

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menegaskan komitmen untuk memartabatkan wanita Sabah melalui tawaran menyeluruh di bawah inisiatif Kasi Bagus Wanita Sabah yang merangkumi pemerkasaan ekonomi, perlindungan sosial dan akses kesihatan secara holistik.

Ketua Penerangan Wanita PN, Nurul Syazwani Noh berkata, agenda itu membuktikan kesungguhan PN untuk melihat wanita sebagai pemacu utama kemajuan negeri.

“PN tidak mahu wanita hanya menjadi pemerhati dalam pembangunan Sabah. Kita mahu mereka berada di depan, diberi peluang, dihargai dan disokong dengan dasar yang realistik serta berpaksikan masa depan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau turut menegaskan PRN Sabah kali ini menyaksikan enam calon wanita PN diberi kepercayaan untuk bertanding.

“Ini bukti nyata PN bukan sekadar bercakap tentang memartabatkan wanita tetapi mengangkat mereka ke barisan hadapan kepimpinan negeri,” ujarnya.

Menurut beliau, antara tawaran penting PN kepada wanita Sabah termasuk dana pemula sehingga RM50,000 melalui Program Profesional Wanita Sabah bagi membantu golongan wanita memulakan perniagaan.

“Turut ditawarkan geran sehingga RM15,000 kepada 10,000 usahawan wanita bersama latihan serta sokongan pendigitalan di samping peluang kerja fleksibel dan mesra keluarga termasuk bekerja dari rumah,” katanya.

Dalam usaha meringankan beban isi rumah, PN turut memperkenalkan Bantuan Lahir Sabah sebanyak RM500 serta bantuan RM500 untuk taska dan tadika.

Penubuhan Pusat Sejahtera Wanita Sabah (PUSWAS) pula akan menyediakan perlindungan kepada mangsa keganasan rumah tangga.

Selain itu, Bantuan Wanita Sabah Bangkit (WSB) menawarkan RM800 sebulan selama tiga bulan kepada wanita yang kematian atau berpisah dengan suami, manakala Bantuan Prihatin Wanita Sabah berjumlah RM1,200 setahun diperuntukkan khusus kepada ibu tunggal.

Bagi aspek kesihatan, program Mammogram Sabah Prihatin menyediakan pemeriksaan mammogram percuma kepada wanita berusia 45 tahun ke atas sebagai inisiatif mengukuhkan pengesanan awal penyakit.

Nurul berkata, kesemua tawaran itu dirangka bagi memastikan wanita Sabah benar-benar diberi pelindungan dan peluang yang setimpal dengan peranan mereka.

“Wanita adalah tulang belakang masyarakat. PN melihat mereka sebagai rakan pembangunan, bukan sekadar pengikut,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button