POLITIK

PN pertaruh profesional muda rebut kerusi Hulu Bernam

HULU SELANGOR – Perikatan Nasional (PN) meletakkan seorang anak muda yang berketerampilan sebagai calon bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada 12 Ogos nanti.

Calon berkenaan, Mui’zzuddeen Mahyuddin, 35, yang juga seorang jurutera automotif merupakan salah seorang profesional muda yang dipilih bagi menggalas tanggungjawab membawa kemenangan kepada PN.

“Moga dengan nikmat ilmu, kepakaran dan kesihatan yang dipinjam buat saya dan sahabat-sahabat lain oleh ALLAH SWT, dapat memberi sinar baharu bagi DUN yang kami tandingi mewakili PN Selangor,” katanya.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Muiz merupakan ahli jawatankuasa Pas Hulu Selangor.

Sebelum ini, beliau pernah menyandang jawatan Setiausaha Pas Hulu Selangor dari tahun 2015 hingga 2021.

Anak muda yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten), merupakan bekas pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Serendah, Sekolah Menengah Agama (SMA) Izzuddin Shah, Ipoh dan SMA Persekutuan Kajang.

Dalam pada itu, DUN Hulu Bernam menyaksikan pertembungan dua penjuru membabitkan Mohd Amran Mohd Sakir (PH-Amanah) dan Muiz (PN-Pas).

Untuk rekod, kerusi berkenaan sebelum ini disandang Datuk Rosni Sohar (BN) selama dua penggal.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Rosni menewaskan calon PKR, Amran Sakir dan calon Pas, Salleh Ri dengan majoriti 20 undi.

Bagaimanapun, Rosni tidak mempertahankan kerusi tersebut pada PRN kali ini dan memberikan laluan kepada calon Amanah atas semangat Kerajaan Perpaduan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button