Maxim Malaysia sahut tindakan APAD, sedia bekerjasama selesai isu
KUALA LUMPUR – Syarikat e-hailing, Maxim Malaysia, mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa berhubung isu dua aplikasi e-hailing yang dikendalikannya, iaitu InDrive dan Maxim, beroperasi secara haram di negara ini.
Maxim Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya mengambil langkah segera bagi menyelesaikan isu tersebut demi menjaga reputasi dan kepercayaan yang telah dibina bersama pengguna, rakan kongsi, vendor serta pihak berkepentingan sejak lima tahun lalu.
“Maxim Malaysia komited untuk mematuhi undang-undang negara serta bekerjasama secara rapat dengan kerajaan dalam menyelesaikan sebarang isu yang timbul.
“Operasi kami masih berjalan seperti biasa dan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan kekal tersedia kepada rakyat di seluruh negara.
“Sejak mula beroperasi di Malaysia kira-kira lima tahun lalu, Maxim menjadikan keselamatan pengguna sebagai keutamaan. Kami mahu pengguna berasa selesa dan selamat ketika menggunakan perkhidmatan kami,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, memaklumkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menghantar surat arahan kepada dua aplikasi e-hailing dari Rusia, iaitu InDrive dan Maxim, menghentikan operasi mereka berkuat kuasa 24 Julai ini.
Menurut Anthony, kedua-dua syarikat berkenaan mempunyai ruang untuk mengemukakan rayuan, namun keputusan akhir mengenai rayuan terletak di bawah bidang kuasa beliau sebagai menteri.
Langkah itu diambil susulan gesaan Persatuan Penghantar P-hailing Malaysia yang menggesa tindakan tegas terhadap aplikasi terbabit kerana didakwa beroperasi tanpa mematuhi peraturan sedia ada.
Mengulas lanjut, Maxim Malaysia menjelaskan pihaknya menyediakan sebuah platform unik yang membolehkan pengguna, penyedia perkhidmatan dan pemandu rakan kongsi berhubung secara langsung bagi mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan.
“Semua pemandu rakan kongsi yang mendaftar dengan aplikasi Maxim menjalani proses pemeriksaan teliti oleh pegawai khusus untuk memastikan mereka mempunyai dokumen lengkap yang menepati garis panduan e-hailing ditetapkan oleh APAD dan Kementerian Pengangkutan.
“Prosedur pemeriksaan yang ketat ini adalah sebahagian daripada komitmen Maxim terhadap ketelusan korporat dan jaminan keselamatan awam secara menyeluruh,” jelas syarikat itu.
Dalam usaha membantu pemandu rakan kongsi mendapatkan Lesen Vokasional Perkhidmatan Awam (PSV) dengan lebih cepat, Maxim Malaysia turut bekerjasama dengan beberapa sekolah memandu di seluruh negara.
“Sepanjang tahun-tahun operasi kami, Maxim Malaysia telah memberi sumbangan besar kepada ekonomi dan komuniti setempat.
“Kami percaya kerjasama berterusan dengan kerajaan adalah kunci kepada penyelesaian jangka panjang dan pembangunan industri e-hailing,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








