Kempen bergerak MyDigital ID sasar rakyat bandar melalui e-hailing
PUTRAJAYA – Pendekatan luar menerusi perkhidmatan e-hailing menjadi strategi terbaharu MyDigital ID dalam merakyatkan penggunaan identiti digital nasional apabila kempen pengiklanan bergerak itu berjaya mendekati ribuan penumpang di Lembah Klang sejak Disember lalu.
Menerusi inisiatif berkenaan, sebanyak 30 kenderaan e-hailing dihiasi pelekat kereta dengan slogan “Satu Kunci Untuk Semua”, yang menjadi naratif utama MyDigital ID, sekali gus membawa mesej agenda digital negara terus ke jalan raya dan kehidupan seharian masyarakat bandar.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID, Rita Irina Abd Wahab berkata, penggunaan perkhidmatan e-hailing membolehkan MyDigital ID mendekati rakyat tanpa terikat kepada program berbentuk formal semata-mata.
“Melalui interaksi harian bersama penumpang, pemandu e-hailing membantu memperkenalkan identiti digital nasional ini dengan cara yang lebih santai, mudah difahami dan berjiwa rakyat.
“Pendekatan berteraskan denyut nadi rakyat ini selaras dengan aspirasi kerajaan yang menekankan keterangkuman digital, kemudahan akses perkhidmatan serta pembinaan kepercayaan terhadap sistem digital negara,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Baca juga : MyDigital ID perkukuh keselamatan digital negara

Selain paparan luaran, kenderaan terlibat turut dilengkapi bahan promosi in-car hanger yang memaparkan kod QR MyDigital ID, membolehkan penumpang mengimbas dan mendaftar secara langsung sepanjang perjalanan, menjadikan proses pendaftaran lebih mudah dan pantas.
Menurut Rita Irina, projek rintis itu dimulakan selama tiga bulan dan setakat ini menunjukkan maklum balas positif apabila hampir 1,000 penumpang berjaya didekati serta diberikan maklumat berkaitan MyDigital ID.
Beliau berkata, MyDigital ID turut menyasarkan 15 juta pendaftaran bagi tahun ini, selepas mencatat lebih 8 juta pengguna berdaftar sejak diperkenalkan kepada orang awam pada November 2023.
Sehingga kini, MyDigital ID telah berintegrasi dengan lebih 80 aplikasi dan portal merentas sektor kerajaan serta swasta, dengan penggunaan mencecah lebih 400,000 akses seminggu.
Katanya, selain kempen e-hailing, MyDigital ID turut melaksanakan pelbagai inisiatif turun padang termasuk jelajah bersama agensi kerajaan, kempen promosi serta penyediaan kios dan bantuan fizikal.
“Menerusi usaha ini ia akan memastikan pendaftaran dapat dilakukan secara dalam talian atau bersemuka mengikut keselesaan rakyat,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








