Mangsa, waris tragedi bas UPSI diminta hubungi APAD untuk tuntutan insurans
KUALA LUMPUR – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menyeru semua mangsa dan waris pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam tragedi nahas bas di Gerik, Perak segera menghubungi agensi itu bagi urusan penyelarasan tuntutan insurans.
Dalam satu kenyataan semalam, APAD memaklumkan pihaknya sedang giat membantu semua pihak terlibat bagi memudahkan tuntutan kepada syarikat insurans berkaitan.
Bagi memudahkan proses itu, APAD turut menjalin kerjasama dengan pihak pengurusan UPSI untuk menghubungi mangsa dan waris terlibat dalam usaha mengesahkan maklumat berkaitan.
Menurut rekod APAD, seramai 37 waris mangsa dikenal pasti menetap di Terengganu, empat di Kelantan dan masing-masing seorang di Kuala Lumpur dan Johor.
“Bagi tujuan penyelarasan tuntutan, mangsa atau waris boleh menghubungi pegawai APAD, Ameera Mohd Ali, menerusi talian 03-2603 6763 atau emel ameera@apad.gov.my.
“Selain itu, mereka juga boleh mendapatkan bantuan secara terus di pejabat cawangan APAD yang berhampiran,” menurut kenyataan itu.
Dalam kejadian 9 Jun lalu, seramai 15 pelajar UPSI maut apabila sebuah bas sewaan khas yang membawa penuntut dari Jertih ke kampus utama universiti itu di Tanjung Malim terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak.
APAD dalam kenyataannya turut menzahirkan rasa simpati dan dukacita terhadap tragedi yang menimpa para pelajar tersebut serta menegaskan komitmennya untuk memastikan kebajikan semua mangsa dan waris diberi perhatian sewajarnya melalui tuntutan insurans.
“APAD juga sentiasa memantau aspek keselamatan pengangkutan awam darat termasuk pematuhan syarat lesen dan tahap perkhidmatan oleh semua pengendali,” menurut kenyataan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








