Penunggang motosikal maut rempuh kereta
SEPANG – Seorang penunggang motosikal maut setelah terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah kereta di Persiaran Semarak Api, Cyberjaya pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman, mangsa merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Beliau memberitahu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sepang menerima makluman mengenai kejadian kira-kira pukul 8.45 pagi.
Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku kira-kira pukul 8.20 pagi apabila pemandu kereta jenis Perodua Bezza sedang membelok ke arah kanan.
“Motosikal ditunggangi mangsa yang datang dari arah bertentangan kemudiannya melanggar bahagian sisi sebelah kiri kereta berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal tercampak dan jatuh di permukaan jalan raya di lorong paling kiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan.
“Jasad mangsa kemudiannya ke Hospital Cyberjaya bagi proses bedah siasat,” katanya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pihak polis turut ingin menasihati semua pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang jalan raya demi keselamatan diri, keluarga dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan itu lagi.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sepang di talian 03-87774264 atau menghubungi Insp. Kogielavaani a/p Ayyasamy di talian 014-6694721.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







