BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

JPJ sita 21 kenderaan perdagangan dalam operasi di 37 pusat pemeriksaan PUSPAKOM

KUALA LUMPUR – Sebanyak 21 kenderaan perdagangan disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi khas di 37 Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) di seluruh negara sejak 30 Disember tahun lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan itu adalah sebahagian daripada Operasi Khas PUSPAKOM untuk memastikan kenderaan perdagangan mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan kaedah berkaitan.

“Operasi ini bertujuan memastikan keselamatan kenderaan dan membendung kesalahan teknikal, sama ada sebelum, semasa atau selepas pemeriksaan berkala di PUSPAKOM.

“Hasil pemeriksaan di 37 PUSPAKOM seluruh negara, 21 kenderaan disita kerana pelbagai kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Antara kesalahan dikesan adalah penggunaan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor palsu, kenderaan tidak berdaftar, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, insurans tamat tempoh dan penggunaan lesen syarikat lain.

Lebih mengejutkan, JPJ turut mengesan sebuah lori yang diluluskan pemeriksaannya tetapi tidak memenuhi piawaian keselamatan kenderaan.

“Tindakan sitaan dibuat mengikut Seksyen 64(1) Akta 333 untuk mengelak kesalahan itu berterusan.

“Berikutan kes itu, JPJ bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat sebarang penyelewengan dalam pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM,” katanya.

JPJ juga memberi amaran bahawa penguatkuasaan tegas akan diteruskan bersama agensi lain bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

“Kami komited meminimumkan kadar kemalangan dan kematian terutama membabitkan kenderaan perdagangan,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button