BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Pengarah syarikat terima RM5 juta dari serah tanah tanpa persetujuan disiasat

KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat di Selangor ditahan selepas dipercayai menyerahkan tanah milik 136 pekerja ladang seluas lebih 3.2 hektar kepada sebuah syarikat pemaju tanpa kebenaran pemiliknya.

Suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu yang bertindak sebagai pemegang amanah tanah berkenaan dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2020 hingga 2025.

Menurut sumber, lelaki warga emas itu ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat agensi berkenaan.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai meminta dan menerima rasuah kira-kira RM100,000 daripada sebuah syarikat pemaju hartanah sebagai balasan menyerahkan tanah tersebut.

Bagaimanapun, semakan lanjut mendapati suspek dipercayai sudah menerima sekurang-kurangnya RM5 juta hasil pengambilan tanah milik pekerja ladang terbabit oleh syarikat berkenaan, yang kemudiannya ditukar status bagi tujuan pembangunan komersial.

“Suspek dipercayai menyerahkan tanah milik 136 pekerja ladang tanpa pengetahuan serta kebenaran mereka sejak 2020 walaupun bertindak sebagai pemegang amanah bagi tanah seluas lapan ekar itu.

“Dalam tempoh lima tahun, suspek dipercayai beberapa kali menerima wang rasuah selain memperoleh kira-kira RM5 juta hasil pengambilan tanah tersebut,” kata sumber SPRM kepada Malaysia Tribune.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok bagi permohonan reman.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button