Tekad PM perangi rasuah buka ruang tindakan lebih tegas SPRM – Azam Baki
KUALA LUMPUR – Komitmen kerajaan dalam memperkasakan usaha membanteras rasuah terus memberi isyarat jelas bahawa penyelewengan hasil negara tidak lagi boleh dipandang ringan, sekali gus membuka ruang lebih tegas kepada agensi penguat kuasa bertindak.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam melawan gejala rasuah dan penyeludupan memberi kekuatan besar kepada SPRM untuk menjalankan tugas tanpa rasa gentar atau memilih bulu.
Menurut beliau, sokongan kepimpinan tertinggi negara menjadi pemangkin kepada warga SPRM untuk meneruskan usaha menumpaskan kegiatan yang menyebabkan negara mengalami kerugian berbilion ringgit.
“Ketegasan yang ditunjukkan oleh kepimpinan negara memberikan ruang jelas kepada SPRM untuk bertindak tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam rasuah, penyeludupan dan penyelewengan hasil negara.
“Pengiktirafan Perdana Menteri terhadap kejayaan menumpaskan kartel sebesar ‘kontena’ ini adalah dorongan besar kepada seluruh warga SPRM untuk terus berusaha memerangi rasuah.
“Tindakan yang diambil bukan kerja sehari dua, tetapi hasil siasatan mendalam, operasi bersepadu serta kerjasama erat antara SPRM, LHDN, PDRM, Kastam dan agensi penguat kuasa lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Anwar menegaskan tekad kerajaan MADANI memerangi kartel dan sindiket penyeludupan adalah langkah tegas bagi melindungi kepentingan negara. Beliau berkata, isu itu sudah berlarutan puluhan tahun kerana kelemahan tindakan dan ketiadaan iltizam politik terdahulu.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kerjasama yang membawa kejayaan besar kepada negara.
Azam dalam kenyataannya menegaskan, kejayaan menyelamatkan jumlah berbilion ringgit dalam tempoh dua tahun membuktikan keberkesanan siasatan berasaskan intelligence-based investigation (IBI) serta penggunaan teknologi analitik dan kewangan terkini.
“Kartel ini bukan berskala kecil. Mereka bergerak dengan rangkaian, modal besar dan perlindungan tertentu selama bertahun-tahun.
“Namun dengan kesungguhan pasukan serta mandat yang jelas daripada kerajaan, SPRM dan agensi penguat kuasa lain berjaya menumpaskan jaringan gelap itu,” katanya.
Beliau menegaskan, SPRM akan kekal komited memastikan semua bentuk rasuah, termasuk melibatkan penyeludupan, ketirisan hasil, cukai dan pengubahan wang haram yang ditangani tanpa mengira kedudukan atau pengaruh mana-mana pihak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








