BERITA SEMASA

36 jemaah umrah terkandas: MOTAC batal lesen Al Aisy Travel

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengambil tindakan tegas dengan membatalkan lesen Al Aisy Travel & Tour Sdn. Bhd. selepas syarikat itu didapati gagal mengurus pakej umrah sehingga menyebabkan 36 jemaah terkandas di Madinah.

Dalam satu kenyataan rasmi, MOTAC memaklumkan pembatalan lesen berkuat kuasa 31 Mac lalu dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] susulan pelbagai pelanggaran serius terhadap syarat lesen.

Menurut kementerian itu, antara kegagalan dikenal pasti termasuk tidak membuat tempahan awal penginapan dan pengangkutan seperti dijanjikan, selain tidak mematuhi jadual perjalanan pelancongan.

“Lebih serius, syarikat turut gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke Malaysia melibatkan 36 jemaah umrah sehingga menyebabkan mereka terkandas di Madinah, Arab Saudi,” katanya.

Tambah MOTAC, tindakan tersebut melanggar peruntukan di bawah perenggan 8(1)(a) dan (b) Akta 482, selain menjalankan perniagaan dengan cara yang memudaratkan kepentingan awam serta industri pelancongan.

“Situasi berkenaan bukan sahaja menjejaskan perjalanan ibadah jemaah, malah mencetuskan risiko keselamatan dan tekanan kewangan sekali gus menggugat keyakinan terhadap industri pelancongan negara,” jelasnya.

Sehubungan itu, MOTAC menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengusaha pelancongan berlesen yang melanggar undang-undang demi melindungi kebajikan rakyat dan integriti industri.

Terdahulu, media melaporkan seramai 36 jemaah termasuk 11 kanak-kanak dan seorang warga emas berkerusi roda terpaksa berpindah-randah hotel di Mekah dan Madinah selepas agensi terbabit didakwa gagal membuat tempahan awal.

Malah, lima daripada jemaah yang dijadual pulang pada 30 Disember tidak dapat berbuat demikian kerana tiket penerbangan belum ditempah, manakala sebahagian yang lain hanya pulang ke tanah air semalam tanpa penyelesaian jelas terhadap isu berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button