BERITA SEMASADALAM NEGERI

Syarikat umrah urus jemaah terkandas di Madinah tidak lagi beroperasi

KUALA LUMPUR – Syarikat pengendali pakej umrah melibatkan kes 36 orang jemaah yang terkandas di Madinah baru-baru didapati tidak lagi beroperasi selain terlibat dalam beberapa pelanggaran serius di bawah Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan 1992.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing berkata, susulan pendedahan insiden yang tular di media sosial itu, pihaknya telah menjalankan penggeledahan dan merakam percakapan dengan pihak syarikat serta para jemaah terlibat.

Katanya, satu kertas siasatan juga telah dibuka selain satu kertas syor pembatalan lesen syarikat terbabit kini sedang dimuktamadkan untuk pertimbangan Pengurusan Tertinggi MOTAC.

Dalam perkembangan sama, King Sing berkata, beliau turut mengarahkan pelaksanaan segera mekanisme jaminan bank (Bank Guarantee) sebagai syarat mandatori kepada agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan wang jemaah sentiasa dilindungi serta pampasan dapat disalurkan tanpa kelewatan sekiranya berlaku penipuan, kecuaian atau kegagalan agensi.

“Sejak tahun lalu, MOTAC telah mengumumkan hasrat untuk mewajibkan Bank Guarantee sebagai syarat utama pelesenan agensi pelancongan, khususnya pengendali pakej umrah, di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482),” katanya dalam kenyataan semalam.

Seramai 36 jemaah umrah yang mendakwa terpaksa berpindah-randah ketika di Mekah dan Madinah akibat masalah pengurusan oleh syarikat pelancongan baru-baru ini.

Tambah beliau, mekanisme itu bukan bertujuan membebankan pengusaha yang jujur, sebaliknya satu langkah tegas untuk membina ekosistem pelancongan yang selamat, boleh dipercayai dan mengembalikan keyakinan rakyat.

Jelasnya, insiden berkenaan membuktikan keperluan mendesak untuk melaksanakan langkah tersebut bagi melindungi jemaah daripada pengusaha tidak bertanggungjawab, selain memperkukuh keyakinan terhadap industri umrah dan pelancongan negara.

“Kes seperti ini bukan kali pertama berlaku dan berulang sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat serta penderitaan kepada mangsa yang terpaksa menanggung kerugian besar,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seramai 36 jemaah umrah termasuk 11 kanak-kanak dan seorang warga emas berkerusi roda terpaksa berpindah-randah hotel di Mekah dan Madinah selepas agensi terbabit didakwa gagal membuat tempahan awal.

Kesemua jemaah dilaporkan selamat tiba di tanah air pagi semalam.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button