BERITA SEMASA

Program Hidangan Buah Nadir terima sokongan MOTAC

BANGI – Program Hidangan Buah Nadir mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya Malaysia (MOTAC) bagi mempromosikan dan memartabatkan warisan budaya Malaysia, khususnya dalam konteks buah-buahan tempatan.

Untuk pengetahuan umum, buah nadir bermaksud buah-buahan yang jarang ditemui dan tidak ditanam secara komersil serta semakin sukar untuk ditemui.

Lebih menarik, program yang telah dilancarkan pada semalam itu, akan melibatkan selebriti seperti Datuk Ramli Sarip, pempengaruh Chef Richard dari “Richard is Cooking,” dan Satthiya Kandi.

Mereka akan memainkan peranan penting sebagai duta yang mewakili pelbagai etnik di Malaysia dalam usaha mempromosikan warisan buah nadir di Malaysia.

Menerusi program ini, penonton akan dibawa ke habitat asal buah nadir tersebut, hingga ke proses penyediaan hidangannya, dengan memberikan gambaran yang komprehensif tentang buah-buahan nadir ini.

Selain itu, program ini juga akan memberi penekanan kepada khasiat kesihatan yang terkandung dalam setiap jenis buah nadir dengan penonton akan diberikan maklumat mengenai manfaat kesihatan dan penggunaan tradisional buah-buahan nadir ini.

Pengarah Program Stage Master, Marina Sulaiman memberi ucapan di majlis pelancaran Program Hidangan Buah Nadir.

Pelbagai destinasi menarik seperti Kedah, Terengganu, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Sabah, dan Sarawak akan dikunjungi sepanjang program tersebut bagi  menerokai buah-buahan nadir seperti buah melinjau, nipah, kecupu, bambangan, dabai dan jambu golok akan ditonjolkan.

Setiap episod program akan memberikan fokus kepada satu jenis buah nadir, dengan tujuan untuk menyelami dan merungkai segala aspek yang berkaitan dengannya.

Dalam pada itu, program yang merangkumi 8 episod dengan setiap episod berdurasi antara 20-25 minit itu akan menitikberatkan maklumat terpilih dalam setiap episod.

Melalui program ini, diharapkan masyarakat akan lebih menghargai kekayaan buah-buahan tempatan dan memahami potensi besar yang terkandung di dalamnya dan topik ini akan dikupas oleh Prof. Dr. Muhammad Shahrim Karim, Profesor dalam bidang Makanan Warisan dan Budaya Malaysia, Universiti Pertanian Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button