Elak ketegangan masyarakat, festival muzik air di Bukit Bintang digesa dibatalkan
KUALA LUMPUR – Sekumpulan anak muda bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak supaya program festival muzik air yang dijadual berlangsung di Bukit Bintang bermula hari ini hingga 2 Mei ini dibatalkan.
Wakil kumpulan berkenaan, Mohamed Sukri Omar berkata, program tersebut wajar dihentikan kerana didakwa bertentangan dengan nilai adab, sensitiviti budaya tempatan serta berpotensi menjejaskan keharmonian sosial dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Menurutnya, penganjuran acara seumpama itu juga disifatkan tidak selari dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta identiti budaya tempatan yang perlu dipelihara.
“Tiga tuntutan utama dikemukakan dalam memorandum berkenaan, antaranya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) digesa membatalkan acara tersebut bagi mengelakkan ketegangan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu kumpulan tersebut menyerahkan memorandum ke pejabat MOTAC bagi menuntut pembatalan segera program berkenaan.
Dalam pada itu, Mohamed Sukri juga mendesak Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing meletakkan jawatan atas dakwaan kegagalan mengurus sensitiviti rakyat.
Katanya, kementerian itu seharusnya memainkan peranan menyatukan rakyat serta mempromosikan keunikan budaya tempatan, bukannya mencetuskan kontroversi yang boleh mengundang perpecahan.
Pada masa sama, kumpulan tersebut turut menggesa kerajaan memperketat tapisan terhadap program dalam kalendar pelancongan agar mencerminkan budaya tempatan dan tidak mempromosi unsur hedonisme melampau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








