BERITA SEMASA

TXA 2026 meterai 17 kerjasama strategik sektor pengangkutan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 17 memorandum persefahaman (MoU) dan dokumen perjanjian dimeterai sempena Transport Expo Asia (TXA) 2026 bagi memperkukuh ekosistem pengangkutan negara, khususnya sektor rel, jalan raya dan maritim.

Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan, daripada jumlah itu, sebanyak 13 dokumen membabitkan sektor rel, manakala empat lagi berkaitan jalan raya dan maritim.

“Majlis pertukaran dokumen berkenaan disaksikan Menteri Pengangkutan sebagai sebahagian usaha kerajaan memodenkan infrastruktur pengangkutan negara selaras dengan Dasar Pengangkutan Negara 2030.

“Antara kerjasama dimeterai termasuk Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan Keio Juuki Seibi Co. Ltd. dari Jepun berkaitan penyelenggaraan aset kereta api.

“MRTS Sdn. Bhd. pula bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam bidang tenaga solar, kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) serta penyelenggaraan infrastruktur Laluan Sistem Transit Rapid (RTS),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Railway Assets Corporation (RAC) menjalinkan kerjasama dengan JLG Investment Holdings Sdn. Bhd. berhubung cadangan pembangunan di Arena Larkin, manakala Railway Assets Holdings (RAH) dan Perlis Inland Port Sdn. Bhd. meneroka potensi pelaburan serta kolaborasi.

MOT berkata, dalam usaha memperkukuh pembangunan tenaga kerja dan kepakaran industri rel, Malaysia Rail Development Corporation (MRDC) turut bekerjasama dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta Global Sustainable Transport Innovation and Knowledge Centre (GSTIKC) dalam bidang pendidikan, penyelidikan, inovasi dan pembangunan sumber manusia.

Sementara itu, M Rail Technics Sdn. Bhd. (RAILTEC) memeterai beberapa kerjasama dengan syarikat industri dan institusi pendidikan, termasuk Siemens Mobility Sdn. Bhd. serta ZF Sales and Service (M) Sdn. Bhd., bagi memperkukuh bidang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih aset rel.

“Sektor jalan raya, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bekerjasama dengan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dalam penyelidikan keselamatan jalan raya, selain menjalinkan kerjasama dengan eMoovit Technology Sdn. Bhd. berkaitan pembangunan kompetensi dan pemeriksaan keselamatan jalan raya.

“Dalam sektor maritim, Lembaga Pelabuhan Labuan menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Labuan dan Megah Port Management bagi perancangan serta promosi operasi kapal persiaran.

“Institut Maritim Malaysia (MIMA) pula bekerjasama dengan Lloyd’s List dalam penyelidikan industri maritim,” katanya.

MOT turut berkata, penganjuran TXA 2026 meneruskan usaha Malaysia menghimpunkan pemain industri pengangkutan dan komersial pada peringkat antarabangsa.

Menurutnya, penganjuran itu turut mencerminkan keyakinan berterusan pelabur antarabangsa terhadap ekosistem pengangkutan Malaysia, selain menyediakan platform strategik untuk meneroka penyelesaian baharu serta memperkukuh kerjasama dalam sektor pengangkutan, mobiliti, logistik dan rantaian bekalan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button