BERITA SEMASA

Koleksi Arkib Negara meningkat kepada 3.22 juta fail

KUALA LUMPUR – Koleksi Arkib Negara Malaysia (ANM) meningkat kepada 3.22 juta fail pada 2026 berbanding 3.14 juta fail pada 2023, sekali gus memperkukuh usaha memelihara khazanah sejarah dan warisan negara.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, peningkatan itu membuktikan komitmen berterusan ANM dalam mengumpul, memelihara dan memperkayakan rekod negara untuk dijadikan sumber rujukan generasi akan datang.

Menurutnya, ANM turut berjaya memperoleh 8,507 fail dari luar negara pada tahun lalu, khususnya rekod berkaitan Singapura, Malaysia Timur dan Brunei, Negeri-negeri Melayu, Tanah Melayu serta Negeri-negeri Selat. Rekod berkenaan penting sebagai sumber sejarah yang dapat membantu rakyat memahami perjalanan pembentukan negara” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) di Auditorium Pusat Pendokumentasian dan Pemuliharaan Bahan Audiovisual, di sini, hari ini.

Aaron berkata, usaha pendigitalan bahan sejarah amat penting agar khazanah sejarah dan warisan negara terus terpelihara, mudah diakses dan dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang.

“Dalam era teknologi dan kecerdasan buatan, bahan sejarah tidak boleh sekadar disimpan, tetapi perlu didigitalkan supaya dapat dikaji, dikongsi dan dimanfaatkan dengan lebih meluas oleh penyelidik, pelajar dan masyarakat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Aaron berkata, Majlis Sejarawan Negara (MSjN) turut ditubuhkan buat pertama kali di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Beliau turut menyentuh beberapa projek pembangunan ANM, termasuk kerja menaik taraf dan mengubah suai Dewan Penyelidikan dan Repositori di Wisma Warisan, ibu pejabat ANM.

Projek pembinaan bangunan ANM di Johor, Melaka, Kelantan dan Perlis serta Bangunan Galeri Memorial Tun Abdullah Ahmad Badawi di Pulau Pinang turut menjadi antara usaha memperkukuh kemudahan pendokumentasian dan pemeliharaan sejarah negara.

Sementara itu, beberapa program turut dicadangkan untuk diperkasakan tahun depan, antaranya Arkib@Sekolah, Arkib@Komuniti, kerjasama penganjuran pameran dengan pihak korporat dan swasta serta Program Mengenang Negarawan.

“Inisiatif berkenaan diharap dapat memperluas capaian perkhidmatan arkib kepada masyarakat, meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemeliharaan warisan sejarah serta mengukuhkan peranan ANM sebagai institusi penting dalam mendokumentasikan khazanah negara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button