BERITA SEMASADALAM NEGERI

Sarawak catat skor perpaduan tertinggi

SIBU – Sarawak mencatat tahap perpaduan tertinggi di negara ini dengan skor Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 sebanyak 0.791, hasil sistem pentadbiran yang cekap serta interaksi harian antara etnik yang pelbagai.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pencapaian itu sekali gus membentuk suasana masyarakat yang aman dan inklusif di negeri tersebut.

Beliau berkata, kefahaman antara etnik yang terbuka serta pegangan nilai kebangsaan yang tinggi turut menjadi asas penting kepada kestabilan dan keharmonian di Sarawak.

Terdahulu, beliau menghadiri Program Gerak Rahmah: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan dan Sungkei Perdana 2026 anjuran Kementerian Perpaduan Negara dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Sibu, Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka dan Kawasan Rukun Tetangga Bahagian Sibu.

Program tersebut dilaksanakan sebagai usaha memperkukuhkan nilai kemanusiaan, kasih sayang serta hormat-menghormati dalam kalangan masyarakat.

Menurut Aaron, program berkenaan turut bertujuan memperkukuh perpaduan melalui aktiviti gotong-royong dan kebersamaan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, hormat-menghormati serta kebersamaan rakyat.

Katanya, aktiviti memasak dan mengagihkan sebanyak 5,000 bekas bubur lambuk bukan sahaja menjadi tradisi Ramadan, malah melambangkan semangat perpaduan dalam kepelbagaian masyarakat Malaysia yang terdiri daripada lebih 200 kumpulan etnik.

“Namun begitu, Sarawak perlu terus menambah baik skor IPNas dengan memperkukuh inisiatif strategik yang lebih menyeluruh dan berimpak tinggi.

“Program pendidikan dan media harus memberi penekanan kepada naratif kebersamaan yang merentas batas etnik agar semangat perpaduan dapat diperkasa secara berterusan dalam kalangan generasi masa kini dan akan datang,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan semangat kebersamaan dan saling menghormati yang diamalkan rakyat Sarawak menjadi contoh terbaik dalam usaha memperkukuh perpaduan di peringkat nasional.

Tambahnya, konsep faham, hormat, terima dan meraikan perbezaan perlu dijadikan amalan dalam kehidupan seharian bagi memastikan masyarakat terus hidup dalam suasana harmoni serta saling mempercayai antara satu sama lain dalam usaha membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button