BERITA SEMASA

Aaron gesa tindakan tegas terhadap pelampau gugat keharmonian

KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara memandang serius tiga insiden terkini yang berpotensi menggugat keharmonian masyarakat di negara ini.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kejadian tersebut melibatkan pembakaran tiga buah kenderaan milik aktivis masyarakat, Cikgu Chandra; video tular memaparkan seorang lelaki memijak serta merosakkan simbol suci agama Hindu, Trisul; serta serangan terhadap pendakwah bebas, Zamri Vinoth.

Menurut beliau, ketiga-tiga insiden berkenaan mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat selain menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan individu serta ketenteraman awam.

“Sebarang bentuk keganasan, provokasi agama, kebencian atau tindakan melampau yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama adalah tidak boleh diterima sama sekali dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

“Keharmonian negara tidak boleh dan tidak akan sesekali digadai oleh tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baca juga : Selepas rumah diceroboh, tiga kereta Cikgu Chandra dibakar

Sehubungan itu, beliau memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara menyeluruh serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Menurut Aaron, tindakan terhadap golongan pelampau yang cuba menggugat keamanan negara perlu dilaksanakan tanpa kompromi.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya tidak bertindak secara beremosi, tidak menyebarkan spekulasi serta sentiasa berhemah ketika memberikan reaksi terhadap isu sensitif khususnya di media sosial.

Katanya, sebarang perbezaan pandangan perlu ditangani melalui saluran yang betul serta berlandaskan undang-undang.

“Malaysia dibina atas asas perpaduan, saling menghormati dan kefahaman antara agama serta budaya. Nilai-nilai ini mesti terus dipertahankan oleh setiap lapisan masyarakat,” katanya.

Tambah Aaron, kementeriannya akan terus bekerjasama rapat dengan agensi keselamatan, pemimpin masyarakat serta pertubuhan antara agama bagi memastikan keharmonian, keamanan dan kestabilan negara sentiasa terpelihara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button