BERITA SEMASA

Pelbagai acara menarik nanti pengunjung sempena Festival Hari Muzium Antarabangsa di Kedah

PUTRAJAYA – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Muzium Malaysia dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Kedah akan menganjurkan Festival Hari Muzium Antarabangsa 2025 Peringkat Kebangsaan dari 23 hingga 29 Julai ini di Muzium Padi, Kedah.

Dengan tema “Masa Depan Muzium dalam Komuniti yang Berubah Pantas”, festival itu bukan sekadar sebuah acara warisan tetapi merupakan wadah penyatuan rakyat Malaysia dalam menghargai khazanah budaya dan sejarah tanah air.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, dalam landskap masyarakat yang semakin dinamik dan berbilang bangsa, muzium berperanan sebagai jambatan antara generasi, merentas latar belakang etnik dan agama.

Malah katanya, peranan muzium juga menyatukan rakyat Malaysia dalam satu naratif kebangsaan yang inklusif dan bersepadu.

“Festival ini membawa pengisian yang padat dan menarik seperti pameran interaktif, bengkel pendidikan, persembahan kebudayaan serta aktiviti komuniti yang meraikan kepelbagaian dan kekuatan warisan negara.

“Antara aktiviti yang akan dianjurkan adalah pameran muzium, citrawarna muzium, bengkel asasi seni telepuk, pertandingan qasidah, bengkel melangir keris, pakat tughun bendang, bengkel wau sobek, pertandingan seni suara burung, pertandingan ayam serama, museum fun run, sesi bersama Datuk Lat, teroka khazanah, permainan tradisional dan bicara seni,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Katanya, KPN melihat inisiatif seperti itu sebagai platform penting dalam memperkukuh jati diri nasional serta menyemai nilai kebersamaan dan persefahaman antara rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

“KPN menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama memeriahkan festival ini di Muzium Padi, Kedah,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button