Pameran Opera Cina tonjol keunikan seni budaya Tionghua
KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara menerusi Jabatan Muzium Malaysia menganjurkan Pameran Opera Cina: Satu Pengenalan, Satu Peringatan yang berlangsung di Galeri 1, Jabatan Muzium Malaysia, di sini sehingga 8 September ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pameran itu membuka ruang kepada masyarakat untuk menyelami keindahan serta keunikan seni persembahan tradisional Opera Cina yang merupakan salah satu bentuk kesenian klasik masyarakat Tionghua.

“Opera Cina sarat dengan nilai estetika, sejarah, simbolisme dan warisan turun-temurun. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi juga cerminan budaya yang kaya dengan nilai moral, perjuangan, cinta dan sejarah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pameran tersebut juga berperanan sebagai platform pendidikan budaya yang memperkenalkan kepada masyarakat umum mengenai kehalusan dalam aspek kostum, muzik, solekan, skrip serta peranan yang dimainkan dalam persembahan Opera Cina.
Aaron berkata, usaha itu selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai saling menghormati, kefahaman antara kaum serta penghargaan terhadap kepelbagaian sebagai asas kekuatan negara.
“Pameran ini bukan hanya pengenalan kepada budaya satu kaum, tetapi juga satu peringatan bahawa warisan budaya adalah milik bersama yang wajar dihormati dan dihargai oleh semua rakyat Malaysia.
“Dengan memahami budaya antara satu sama lain, kita dapat membina hubungan yang lebih erat antara komuniti berbilang bangsa dan agama,” katanya lagi.
Kementerian Perpaduan Negara berharap pameran tersebut dapat memperkukuh jalinan perpaduan rakyat melalui seni budaya, selain menjadi pemangkin kepada kesedaran untuk memelihara khazanah warisan budaya negara secara menyeluruh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








