Thaipusam lambang kekuatan kepelbagaian agama, budaya negara – Aaron Ago Dagang
KUALA LUMPUR – Perayaan Thaipusam yang disambut saban tahun bukan sahaja membawa makna kerohanian yang mendalam kepada penganut Hindu, malah mencerminkan keindahan kepelbagaian agama dan budaya yang menjadi kekuatan utama negara.
Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang berkata, kepelbagaian tersebut merupakan asas penting dalam membina sebuah negara bangsa yang bersatu, harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain.
“Thaipusam bukan sekadar perayaan keagamaan, tetapi simbol kepada keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia yang hidup dalam semangat muhibah dan saling memahami,” katanya dalam satu kenyataan sempena sambutan perayaan itu, hari ini.
Beliau turut menzahirkan ucapan Selamat Menunaikan Ibadat Thaipusam kepada seluruh penganut Hindu di negara ini serta berharap sambutan perayaan berkenaan disambut dengan penuh keinsafan, ketenangan jiwa dan keberkatan.
Dalam pada itu, Aaron mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan isu agama sebagai alat mencetuskan perbalahan, khususnya di media sosial, yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.
“Kita perlu menolak kebencian, provokasi, stereotaip dan prejudis. Kepelbagaian agama dan bangsa seharusnya menjadi jambatan yang menyatukan, bukan memecah-belahkan rakyat,” katanya lagi.
Menurut beliau, kepelbagaian agama, bangsa dan budaya di Malaysia adalah satu anugerah yang tidak ternilai kerana ia memperkayakan identiti nasional serta menjadi tunjang kepada pembinaan negara yang aman, makmur dan sejahtera selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








