BERITA SEMASA

Kementerian Perpaduan pandang serius isu pelajar disyaki hina Islam di media sosial

PUTRAJAYA – Kementerian Perpaduan Negara memandang serius penyebaran kandungan di media sosial melalui akaun milik seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang disyaki menghina agama Islam.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu melibatkan sensitiviti agama dan kaum.

Menurut beliau, perkara berkaitan agama tidak seharusnya dipermainkan atau dijadikan bahan provokasi kerana perbuatan sedemikian merupakan satu kesalahan dan boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat majmuk.

“Saya menyeru semua pihak agar segera menghentikan penyebaran kandungan berunsur kebencian dan tidak bertanggungjawab di mana-mana platform media sosial.

“Kepelbagaian agama di negara ini adalah aset yang wajib dipelihara, bukan dieksploitasi untuk kepentingan tertentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baca juga : Pelajar disyaki hina Islam ditahan polis

Terdahulu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman mengesahkan penuntut terbabit telah ditahan awal pagi tadi susulan tular gambar kaki seorang lelaki dewasa memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran individu didakwa penuntut UMPSA di media sosial.

Turut tular gambar lelaki terbabit dan tangkap layar komen menghina Nabi Muhammad SAW.

Mengulas lannjut, Aaron berkata, siasatan sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pelajar yang didapati bersalah atas apa-apa kesalahan tatatertib di bawah Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah) (Tatatertib Pelajar) 2024.

Tegas beliau, Kementerian Perpaduan Negara akan terus komited memastikan keharmonian antara kaum dan agama sentiasa terpelihara.

“Saya menyeru rakyat Malaysia agar bertindak secara matang, berhemah dalam bermedia sosial dan sentiasa menjunjung nilai hormat serta toleransi demi keamanan negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button