Citra Negaraku 2025: Setiap universiti terima RM20,000, fokus semai perpaduan mahasiswa – Aaron Ago
KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional memperuntukkan sebanyak RM20,000 bagi setiap universiti yang terlibat dalam Program Citra Negaraku 2025, dengan sasaran penglibatan kira-kira 300 pelajar bagi setiap sesi.

Menteri Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, peruntukan itu bertujuan memastikan pelaksanaan program berjalan lancar dan memberi impak besar terhadap pengukuhan semangat patriotisme serta perpaduan dalam kalangan mahasiswa.
“Buat masa ini, kita sudah mulakan dengan enam universiti dahulu. Kalau sambutan terus menggalakkan, kita akan perluaskan ke lebih banyak institusi pengajian tinggi.
“Setiap sesi melibatkan sekitar 300 pelajar dan RM20,000 diperlukan untuk menjayakannya dengan baik,” katanya kepada media selepas merasmikan program tersebut di UCSI College, di sini hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta pihak pengurusan UCSI College atas pelaksanaan majlis pelancaran berkenaan.
“Program yang pertama kali diadakan ini membawa tema “Menjiwai Rukun Negara”, selaras dengan usaha kementerian untuk memperkukuh penghayatan terhadap lima prinsip dan cita-cita Rukun Negara dalam kehidupan seharian,” katanya lagi.
Aaron berkata, antara pengisian utama program termasuklah Bicara Perpaduan dalam bentuk town hall, Ekspresi Perpaduan menerusi persembahan budaya dan pameran wajah perpaduan, SRN Prihatin iaitu khidmat komuniti oleh mahasiswa, serta Jejak Rukun Negara yang berasaskan pendidikan interaktif.
“Pelajar bukan sahaja bertindak sebagai peserta tetapi juga sebagai pencerita negara. Mereka menyumbang idea, pengalaman dan naratif sendiri tentang apa erti Malaysia kepada mereka,” katanya lagi.
Beliau juga menyentuh mengenai sejarah Rukun Negara yang lahir daripada tragedi 13 Mei 1969 dan usaha Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) untuk membina semula keharmonian negara, dengan Rukun Negara dijadikan falsafah kebangsaan berteraskan perpaduan dan keadilan sosial.
Sejak tahun 2023, katanya, kerajaan telah mengarahkan supaya lafaz penuh Rukun Negara dilaksanakan dalam semua majlis rasmi termasuk perhimpunan sekolah.
“Rukun Negara dan Dasar Perpaduan Negara adalah dua dokumen penting yang perlu diangkat bersama dalam membina masyarakat Malaysia yang bersatu, progresif dan berintegriti,” tegas beliau.
Beliau turut memuji enam institusi yang terlibat dalam fasa pertama program iaitu UCSI College (Kuala Lumpur), IPG Kampus Ipoh, Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (Johor), Universiti College TATI (Terengganu), Kolej Geomatika Keningau (Sabah) dan Universiti Putra Malaysia Sarawak.
Program Citra Negaraku 2025 merupakan antara inisiatif utama kementerian dalam melahirkan mahasiswa sebagai ejen perubahan dan arkitek perpaduan masa depan, sejajar dengan matlamat menjadikan 189 Sekretariat Rukun Negara (SRN) sebagai pusat rujukan nilai kenegaraan menjelang tahun hadapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








