Kerajaan teliti semula cadangan tubuh Suruhanjaya Keharmonian Nasional
PUTRAJAYA – Kerajaan sedang meneliti semula cadangan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional (SKRN) sebagai langkah memperkukuh perpaduan serta keharmonian antara kaum dan agama di negara ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, usaha itu digerakkan semula susulan perkembangan semasa yang memperlihatkan peningkatan polemik berkaitan isu perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, cadangan berkenaan turut mengambil kira pandangan tokoh perpaduan, Tan Sri Lee Lam Thye yang mencadangkan penubuhan sebuah badan berkanun bebas bagi menangani isu keharmonian secara lebih menyeluruh.
“Pada 2015, Majlis Konsultasi Perpaduan Negara telah menyediakan tiga draf Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan, namun dua daripadanya tidak diteruskan pada 2019 kerana bertindih dengan undang-undang sedia ada serta Perlembagaan Persekutuan.
“Cadangan penubuhan SKRN pula pada dasarnya dipersetujui, namun pelaksanaannya tertangguh sebelum diputuskan untuk tidak diteruskan pada April 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, cadangan baharu SKRN akan memberi penekanan kepada pendekatan pencegahan dan pendamaian berbanding tindakan berbentuk hukuman semata-mata.
“Pendekatan tersebut melibatkan usaha pencegahan awal, mediasi serta penyelesaian konflik secara harmoni dan konstruktif selaras dengan amalan terbaik antarabangsa,” katanya lagi.
Tambah beliau, antara fungsi utama yang dicadangkan bagi suruhanjaya itu termasuk menjalankan siasatan terhadap isu yang menjejaskan keharmonian, memanggil pihak berkaitan memberi keterangan serta mengemukakan syor kepada kerajaan.
“Suruhanjaya ini juga dijangka mengendalikan proses mediasi secara rasmi serta menerbitkan laporan awam tertakluk kepada kepentingan keselamatan negara,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional telah memulakan sesi libat urus bersama pelbagai pihak sejak awal April.
Menurut beliau, sesi tersebut akan diteruskan secara inklusif melibatkan agensi kerajaan, penguat kuasa, pertubuhan bukan kerajaan, parti politik serta komuniti setempat bagi memastikan cadangan yang dirangka bersifat menyeluruh dan berkesan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















