BERITA SEMASA

Penyertaan TOTYA melonjak 146 peratus, RM150 juta diperuntuk naik taraf tandas awam

KUALA LUMPUR – Penyertaan Anugerah Tandas Terbaik Tahun 2026 (TOTYA 2026) melonjak 146 peratus kepada 849 penyertaan berbanding 345 ketika anugerah itu diperkenalkan pada 2023, mencerminkan peningkatan kesedaran terhadap kepentingan kebersihan tandas awam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kementerianny memperuntukkan RM150 juta bagi tempoh lima tahun dari 2026 hingga 2030 untuk menaik taraf, membaik pulih dan menyelenggara tandas awam milik pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

Beliau berkata, peningkatan penyertaan TOTYA membuktikan usaha kerajaan memupuk budaya kebersihan tandas awam mula menunjukkan hasil.

“TOTYA bukan sekadar platform pengiktirafan tahunan, malah ia telah berkembang menjadi pemangkin kepada kempen kebersihan tandas awam di seluruh negara,” katanya pada Majlis Anugerah Tandas Terbaik Tahun 2026 (TOTYA 2026), semalam.

Menurutnya, peningkatan penyertaan turut mencerminkan kesedaran lebih tinggi dalam kalangan PBT, institusi pendidikan, pengusaha premis komersial dan pelbagai pihak mengenai kepentingan menyediakan tandas awam yang bersih, selesa, menawan dan wangi.

“Tandas awam yang bersih, menawan dan wangi bukan sekadar soal keselesaan, tetapi merupakan cerminan imej, disiplin dan tahap peradaban sesebuah negara.

“Kita mahu kebersihan tandas awam menjadi satu budaya nasional. Kerajaan tidak boleh bergerak bersendirian. Kita perlu menggembleng kekuatan semua pihak supaya standard kebersihan tandas awam terus ditingkatkan,” katanya.

Nga berkata, kebersihan tandas awam juga memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi awal pelancong terhadap Malaysia, terutama ketika negara berusaha memperkukuh sektor pelancongan dan meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa.

“Kebersihan tandas awam mencerminkan tahap tamadun sebuah negara. Kerajaan berhasrat apabila rakyat dan 47 juta pelancong menggunakan tandas awam di Malaysia, mereka dapat melihat satu standard yang sama iaitu bersih, menawan, wangi, selesa dan selamat,” katanya.

Seiring usaha meningkatkan standard pengurusan tandas awam, KPKT sedang mempergiat transformasi menerusi pengenalan Tandas Pintar BMW-i yang mengintegrasikan teknologi automasi, sensor persekitaran dan sistem pemantauan digital bagi meningkatkan kecekapan penyelenggaraan serta keselesaan pengguna.

Usaha itu turut disokong menerusi Aplikasi Penarafan Bintang Tandas Awam (PBTA), yang membolehkan pemantauan dan penilaian tahap kebersihan dilaksanakan secara lebih sistematik, telus dan berkesan.

Gabungan pelaburan kerajaan dan sektor swasta menerusi inisiatif berkenaan dijangka merancakkan aktiviti ekonomi berkaitan industri kelengkapan tandas, dengan anggaran nilai melebihi RM100 juta.

Nga berkata, peruntukan baharu RM150 juta itu meneruskan komitmen kementerian memastikan kemudahan asas rakyat sentiasa berada pada tahap baik, selamat dan selesa untuk digunakan.

Sejak 2023, KPKT menyalurkan RM154 juta bagi kerja menaik taraf dan penyelenggaraan membabitkan 1,529 tandas awam PBT di seluruh negara. Jumlah tandas awam yang berjaya dibaik pulih dan dinaik taraf meningkat kepada 11,835 buah.

TOTYA 2026 turut mengiktiraf pemenang bagi lapan kategori utama, merangkumi PBT, hotel, sekolah, stesen minyak, restoran, pusat beli-belah, kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta rumah ibadat.

Setiap pemenang utama menerima wang tunai RM20,000 berserta trofi dan sijil pengiktirafan sebagai penghargaan terhadap komitmen serta pencapaian dalam penyediaan dan pengurusan kemudahan tandas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button